A+ A A-

Bangunan Canselori Bakal Beroperasi Mac

 

PAUH PUTRA – Bangunan Canselori Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang menempatkan tiga jabatan utama universiti itu dijangka beroperasi Mac tahun ini di Kampus Tetap UniMAP, di sini.


Bangunan lima tingkat itu bakal menempatkan Jabatan Canselori, Jabatan Pendaftar dan Jabatan Bendahari dengan kemudahan Auditorium, surau, bilik mesyuarat, kafeteria, wakaf dan Dewan Senat.


Naib Canselor UniMAP Prof Ir Ts Dr R Badlishah Ahmad berkata projek pembinaan bangunan baharu itu bermula sekitar 2014 di bawah Rancangan Malaysia Ke Sepuluh (RMK Ke-10) bersama tujuh projek baharu yang diluluskan.


Ujarnya, RNEM Engineering Sdn Bhd adalah kontraktor utama projek berkenaan di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Perlis mulai 15 Ogos 2016 dan dijadualkan siap pada penghujung 2018 namun dilanjutkan sehingga pengeluaran Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) pada 13 Disember tahun lalu.


“Alhamdullilah, dengan siapnya bangunan ini pihak UniMAP tidak lagi akan meneruskan sewaan bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Kangar sekaligus dapat menjimatkan perbelanjaan belanja mengurus dan pengurusan kos operasi serta penyelenggaraan bangunan,” kata beliau ketika berucap di Majlis Penyerahan Projek Bangunan Canselori dari JKR kepada UniMAP di Dewan Senat bangunan berkenaan, pada 21 Januari 2020.


Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UniMAP Raja Dato’ Azwane Raja Arif ,Jurutera Awam Penguasa Kanan Bahagian Pengurusan Portfolio (PMO) JKR Ir. Habibah Baba, Jurutera Awam Penguasa JKR Perlis Ismail Mohamad dan Pengarah Urusan RNEM Engineering Sdn Bhd Ramziah Hanafi.

Tambah beliau, penyerahan projek Bangunan Canselori itu merupakan satu lagi kesinambungan pencapaian pembangunan projek-projek di UniMAP dalam usaha menyediakan keperluan ruang kepada warga UniMAP.


“Jesteru, besarlah harapan agar semua warga UniMAP dapat meningkatkan ‘outcome’ dan ‘output’ kerja serta menawarkan perkhidmatan yang lebih berkualiti dan inovatif terutama kepada pemegang taruh.


“Selain itu, ia juga sebagai simbolik penghargaan kepimpinan UniMAP terdahulu bermula dari Datuk Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin serta Dato’ Prof Dr Zul Azhar Zahid Jamal serta LPU sebelum ini dan sekarang,” kata beliau.


Ketinggian bangunan ikonik itu adalah 77 meter dari aras laut tidak termasuk 10 meter ketinggian kubahnya dengan warna setiap aras berdasarkan lima prinsip tadbir urus iaitu Kuning (Dinamik), Jingga (Cekap), Kelabu (Telus), Hijau (Beretika) dan Biru (Fokus Pelanggan).


Selain itu, ia turut dilengkapi sistem lif, kamera litar tertutup (CCTV), sensor lampu, sistem Automasi Bangunan, sistem Pencegah Kebakaran serta disokong satu blok pencawang elektrik dan satu rumah pam.


Corak hiasan dalaman bangunan itu pula berkonsepkan gabungan moden dan motif tradisional yang menggabungkan “Printed Circuit Board” menggambarkan Revolusi Industri 4.0 manakala motif tradisional Bunga Padi dan Bunga Kenanga merupakan dua elemen daripada Cokmar Rasmi UniMAP.

 

Tagged under: UniMAP, berita, Naib Canselor,