A+ A A-

ICoE Healthcare Sumbang RM50,000 untuk B.Braun Graduate Program 2016

  • المجموعة: BERITA - Malay

PADANG BESAR, 22 Disember – Pusat Kecemerlangan Industri, Kluster Penjagaan Kesihatan (ICoE Healthcare) Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menyumbangkan RM50,000 untuk B.Braun Graduate Program (BGP) 2016.

Ketua Kluster ICoE Healthcare Prof. Madya Ir. Mohabattul Zaman Bukhari berkata, BGP 2016 merupakan program kerjasama strategik antara B.Braun Medical Industries Sdn. Bhd. (BMI) untuk meningkatkan pembangunan modal insan bagi membantu kebolehpasaran graduan dalam industri.

“Kita sentiasa berusaha mencari jalan untuk menyediakan graduan-graduan yang menepati kehendak industri, dan kerjasama seperti ini bukanlah kali pertama kita lakukan bersama pihak industri.

“Untuk mengikuti program ini, graduan itu mestilah mendapat purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.0 dan ke atas dalam pelbagai bidang kejuruteraan dan Sains,”katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Cek di Kampus UNICITI Alam UniMAP, di sini, baharu-baharu ini.

Turut hadir, Pengurus Sumber Manusia BMI, Rudy Musnandar Mohamad Said Timbalan Dekan Fakulti Kejuruteraan UniMAP, Dr. Nik Noriman Zulkepli dan Eksekutif Kanan BMI Aswaddie Abdul Stek.

Ujar beliau lagi, program selama enam bulan itu akan melibatkan sebanyak dua  fasa dan akan bermula Julai tahun hadapan.

 “Ia akan diuruskan sepenuhnya oleh pihak BMI dan graduan yang terpilih akan ditawarkan untuk bekerja di BMI serta dapat menikmati keistimewaan seperti pekerja yang lain.

 “Kita berharap dengan adanya program ini, peratus kebolehpasaran graduan yang bekerja akan meningkat sekaligus menampung kekurangan jumlah jurutera mahir di negara ini,”katanya lagi.

<

UniMAP Rintis Kerjasama Dengan YTU, Turki

  • المجموعة: BERITA - Malay

Daripada Adnan Jahaya

ISTANBUL (Turki), 14 Dis (Bernama) -- Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pada Sabtu merintis kerjasama akademik dan penyelidikan dengan Yildiz Technical University (YTU), sebuah institusi pengajian tinggi terkemuka di Turki yang berpusat di Istanbul.

YTU yang berusia lebih 100 tahun adalah institusi pengajian tinggi pertama di Turki yang menjalin kerjasama dengan UniMAP, sebuah universiti yang bertapak di Perlis dan kini sedang melonjak namanya di arena antarabangsa melalui kegiatan penyelidikan.

Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) berlangsung di YTU dengan UniMAP diwakili Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin manakala YTU diwakili rektornya, Prof Dr Ismail Yuksek.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor UniMAP turut berangkat menyaksikan majlis menandatangani memorandum itu.

Majlis itu berlangsung sempena program Jelajah Ilmu UniMAP ke Turki selama lima hari bermula Selasa lalu yang disertai 30 anggota Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniMAP sesi 2012/2013 serta beberapa pegawai kanan universiti itu.

Tuanku Syed Faizuddin ketika bertitah pada majlis itu mempelawa Turki menghantar lebih ramai pelajarnya ke Malaysia kerana yuran pengajian di institusi pengajian tinggi di Malaysia yang kompetitif berbanding negara lain.

Selain itu, bahasa pengantar di kebanyakan institusi pengajian tinggi di Malaysia adalah bahasa Inggeris selain faktor makanan halal yang mudah didapati.

Tuanku Syed Faizuddin turut mencadangkan pihak Malaysia dan Turki mencari jalan memperkukuh jambatan ilmu yang menghubungkan kedua buah negara termasuk menyelaras kurikulum pengajian bagi memastikan lebih ramai pelajar menepati kelayakan umum kemasukan universiti di kedua buah negara.

Titah baginda, setakat ini hanya 30 pelajar Malaysia berada di Turki berbanding 300 pelajar Turki di Malaysia.

Baginda bertitah, setiap tahun kerajaan Turki menawarkan biasiswa kepada pelajar luar negara termasuk Malaysia terutama dalam bidang pengajian sains sosial di peringkat ijazah yang secara tidak langsung menggalakkan lebih ramai pelajar asing menguasai bahasa Turki.

Turut hadir pada majlis menandatangani memorandum itu ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniMAP, Prof Madya Dr Mohd Fo'ad Sakdan dan Dekan Hal Ehwal Pelajar universiti itu, Prof Madya Razli Ahmad.

<

Hamid Adom Dilantik Timbalan Naib Canselor UniMAP

  • المجموعة: BERITA - Malay

KANGAR, 3 Dis – Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Mekatronik Prof. Dr. Abdul Hamid Adom dilantik menjadi Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), yang baru bagi tempoh tiga tahun berkuatkuasa 1 Disember lalu.

Anak kelahiran Kuala Lumpur yang baru berusia 42 tahun itu merupakan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi yang ketiga UniMAP di mana sebelum ini di sandang oleh Prof. Dr. Ismail Daut dan Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal.

Prof. Dr. Abdul Hamid ketika ditemui berkata, dengan kepercayaan yang diberikan beliau berazam untuk meningkatkan mutu penyelidikan UniMAP yang sedia ada bukan sahaja di peringkat universiti malah dipersada antarabangsa.

“Saya juga berhasrat untuk mempertingkat kualiti pengurusan penyelidikan serta memudahcara pelaksanaan setiap projek.  Ini insyaAllah akan dapat melonjakkan nama Universiti ini ke tahap yang lebih tinggi.”

Prof Dr Abdul Hamid mula berkhidmat di UniMAP yang ketika itu dikenali sebagai Kolej Universiti Kejuruteraan Utara Malaysia (KUKUM) dari 1 Disember 2004 sebagai pensyarah di PPK Mekatronik sebelum dilantik sebagai Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar PPK tersebut pada tahun 2005.

Beliau juga dilantik menjadi ahli senat sejak tahun 2005 seterusnya menjadi Dekan PPK Mekatronik pada 2007.

Beliau mempunyai kelulusan Sarjana muda dalam Kejuruteraan Sistem Elektronik pada tahun 1995 sebelum menyambung pengajian Sarjana dalam bidang yang sama pada tahun 1996.

Minat yang mendalam dalam bidang kejuruteraan Sistem Elektronik mendorong beliau untuk meneruskan pengajiannya ke peringkat Ijazah Doktor Falsafah dan berjaya menamatkan pengajian pada tahun 2001. Ketiga-tiga kelulusan tersebut adalah dari Liverpool John Moores University, UK.

Sebelum berkhidmat di UniMAP, beliau merupakan Ketua Program Matematik di Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Universiti Sains Malaysia.

Beliau telah dianugerahkan professor penuh pada Jun 2012. Prof Dr Abdul Hamid aktif dalam bidang penyelidikan kecerdikan buatan,hybrid sensing,brain-machine interface dan robotik.

 <