- المجموعة: BERITA - Malay
- كتب بواسطة: Syed Abu Bakar Syed Ahmad
650,000 Kakitangan Dan Pelajar Universiti Awam Nikmati Manfaat Waran Penerbangan Air Asia
PUTRAJAYA, 5 Mei - Seramai 650,000 kakitangan dan pelajar dari 20 Universiti Awam (UA) bakal menikmati manfaat memulakan perjalanan dengan lebih jimat dan mudah menggunakan 'Waran Perjalanan Udara Awam' (WPUA) AirAsia.
Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang berkata, kelebihan tersebut diperoleh selepas 20 IPTA menandatangani memorandum perjanjian persetujuan (MoA) dengan AirAsia Berhad.
“Usaha ini akan meningkatkan lagi kemudahan dan keselesaan perjalanan serta penjimatan yang khusus kepada mereka melalui tambang rendah Air Asia ini.
“Program WPUA ini akan dapat memberi kemudahan dan penjimatan kepada kakitangan dan pelajar UA dalam menjalankan tugasan, selaras dengan seruan kerajaan untuk semua agensi kerajaan melaksanakan perbelanjaan berhemah,” katanya ketika berucap pada Majlis Menandatangani MoA Air Asia dengan 20 UA di Dewan Zaaba KPM di sini semalam.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Aireen Omar, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi dan Kementerian Pendidikan Malaysia, Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir, Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin serta lain-lain Naib Canselor UA.
Sementara itu, Aireen Omar berkata, program khas tersebut, bagi agensi kerajaan dan badan berkanun termasuk universiti awam, akan membolehkan mereka menjalankan tugas dengan lebih efisien dan tanpa kos berlebihan.
“Kita mempunyai rangkaian domestik terbesar, menghubungkan bukan sahaja Semenanjung Malaysia dan Sabah dan Sarawak, tetapi juga destinasi dalaman di Sabah dan Sarawak, memudahkan pelan perjalanan bagi para pelajar dan kakitangan universiti awam.
“Program WPUA ini menawarkan tempahan penerbangan dan pertukaran penerbangan yang fleksibel, peruntukan 40 kilogram bagasi daftar masuk, termasuk hidangan dalam penerbangan dan pilihan tempat duduk, yuran kaunter percuma dan dilindungi Pelan Perlindungan AirAsia oleh Tune Insurance,”katanya.
Untuk rekod, Universiti Malaysia Perlis pernah menandatangani surat perjanjian kerjasama bersama Airasia pada Februari 2010. Jalinan kerjasama yang dilakukan dalam usaha UniMAP menjayakan program “Belanja Berhemah 2010” UniMAP.