- المجموعة: BERITA - Malay
- كتب بواسطة: Syed Abu Bakar Syed Ahmad
ALUMNI UniMAP Berbakti Di Tumpat
Kangar, 13 Januari 2015 – Persatuan Alumni Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) tidak ketinggalan untuk menabur bakti kepada mangsa-mangsa banjir di Kelantan apabila telah menyertai Operasi Pasca Banjir Sukarelawan UniMAP fasa tiga ke pantai timur baru-baru ini.
Menurut Pengerusi Persatuan Alumni UniMAP, Syed Akhmal Syed Jamalil ketika ditemui berkata mereka sangat bersimpati dengan keadaan yang menimpa masyarakat di Kelantan dan atas kesedaran itu, mereka mengambil peluang untuk terlibat dalam Operasi kali ini.
“Seramai 35 alumni dari 160 sukarelawan menyertai misi operasi kali ini yang terdiri daripada pelajar badan beruniform UniMAP. Kami merasa sangat bertuah kerana dapat menabur bakti dalam membersihkan kawasan Sekolah Menengah Kebangsaan Kampong Laut (SMKKL) yang dibanjiri lumpur setinggi dua kaki.
Semoga dengan bantuan yang disumbangkan ini, para pelajar sekolah tersebut dapat menjalani sesi persekolahan dengan lancar,”katanya.
Menurut beliau lagi, Persatuan Alumni juga turut menyumbangkan wang bantuan sebanyak RM 1,000, kasut sekolah, lampin pakai buang bayi dan keperluan harian. Sumbangan diserahkan kepada Pengetua SMKKL , Puan Hajjah Jamari Othman dengan disaksikan oleh Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris b Jusoh yang ketika itu mengadakan lawatan ke sekolah tersebut.
Sementara itu, pada masa yang sama Pusat Pengajian Kejuruteraan Bioproses turut menyumbangkan hasil penyelidikannya iaitu alat mencegah serangga yang diberi nama Doktor Soh Repellent.
Penyerahan produk tersebut dilakukan sendiri oleh penyelidiknya Prof. Dr. Awang Soh Mamat kepada Datuk Seri Idris Jusoh untuk kegunaan mangsa-mangsa banjir di Kelantan.
Bagi salah seorang alumni UniMAP yang berasal dari Yemen, Mostafa Mohammad AlHaj Ali, 27 ketika ditemui berkata beliau sangat gembira kerana diberi peluang untuk menyertai misi kali ini.
“Saya melihat musibah yang berlaku ini sangat teruk tetapi ada hikmahnya juga kerana dengan musibah ini, seluruh rakyat Malaysia berlumba-lumba untuk memberikan sumbangan di negeri ini samada bentuk barangan, kewangan serta sumbangan tenaga.
Ini secara tidak langsung menggambarkan semangat perpaduan dan kesukarelaan antara masyarakat di Malaysia masih kuat dan saya sangat teruja melihat keadaan ini.