- المجموعة: BERITA - Malay
- كتب بواسطة: Syed Abu Bakar Syed Ahmad
IWAPI Jalin Kerjasama Dengan PISKANITA
Kangar, 27 Februari – Hubungan di antara Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Acheh diharapkan semakin erat dengan pelbagai kerjasama dua hala yang mampu memberi banyak manfaat kepada kedua-dua belah pihak.
Harapan itu disuarakan oleh Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin ketika berucap mengalu-alukan kedatangan delegasi dari seberang itu di majlis makan malam di Hotel Seri Malaysia, hari ini.
Menurut Datuk Kamarudin, sebelum ini hubungan terjalin di antara UniMAP dan Universitas Ubudiyah Indonesia (UUI) dari wilayah berkenaan telah dimerterai dengan kerjasama dalam pelbagai bidang.
“Kali ini kedatangan delegasi dari Acheh disertai Ikatan Wanita Pengusaha Indonesia (IWAPI) yang bakal menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Isteri-isteri dan Kakitangan Wanita (Piskanita) UniMAP dengan aktiviti dua hala termasuk aktiviti kemasyarakatan.
“Justeru, sepertimana UUI, diharapkan hubungan dengan IWAPI juga akan semakin erat selepas ini dan UniMAP amat mengalu-alukan kedatangan kali pertama IWAPI ke Perlis khususnya UniMAP,” kata beliau.
Turut menyertai delegasi dari Acheh itu ialah isteri wakil gabenor Acheh, Marliyana Usman.
Hadir sama ke majlis makan malam berkenaan ialah Pengerusi Piskanita UniMAP Datin Noridah Yangman dan Rektor UUI, Maniarti M.Kes.
Delegasi dari Acheh itu dijangka mengadakan lawatan kerja ke Hatyai Thailand bagi menjalinkan kerjasama di Universiti Walailak dan Universiti Prince Of Songkla (PSU) bersama delegasi UniMAP selama dua hari.