- المجموعة: BERITA - Malay
- كتب بواسطة: Aininulniza
Dialog Sasterawan Bugar Kembali Sastera Melayu
PAUH PUTRA, 3 Oktober – Sudah menjadi hasrat Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) untuk membugar kembali elemen-elemen sastera Melayu di universiti dengan memasyarakatkan Sasterawan Negara (SN) dalam kalangan para pelajarnya.
Berjaya dengan siri 1 pada Mac lalu, Angkatan Sasterawan Indera (AKSARA) Perlis dengan kerjasama pejabat Ahli Parlimen Kangar, Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) dan Jawatankuasa Sasterawan Universiti (JSU) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah menganjurkan Siri 2 Jelajah Sasterawan Negara (JSN 2) 2019 yang berlangsung pada dan 28 – 29 September 2019 baru-baru ini.
Menurut Ketua Satu Angkatan Sasterawan Indera (AKSARA) Perlis, Dr. Norshah Aizat Shuaib, program ini dapat mengangkat elemen sastera yang mengandungi keindahan dan kesantunannya yang tersendiri.
“Ia sebagai langkah menyahut konsep Sasterawan-D-Universiti oleh Yang Berhormat Dr. Maszlee Malik, Menteri Pendidikan Malaysia untuk mengiktiraf pelibatan SN dalam kalangan warga universiti.
“Lebih tepat kerana UniMAP sebuah universiti berkonsepkan teknikal dan kejuruteraan maka wajarlah pelajarnya didedahkan elemen sastera bagi membolehkan mereka mengenali warisan dan nilai sejarah budaya dalam pembinaan sesebuah tamadun bangsa,” katanya ketika dihubungi selepas program tersebut berlangsung di Auditorium Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra, UniMAP.
Ujar beliau, untuk siri 2, Sasterawan Negara Ke-6 Prof. Emeritus Dr Muhammad Haji Salleh dijemput untuk berdialog mengenai Sastera di Universiti: Membina Tamadun Madani di hadapan hampir 140 pelajar UniMAP.
Sementara itu, Prof. Emeritus Dr Muhammad Haji Salleh pada sesi dailognya melahirkan kesungguhan mengangkat elemen sastera melalui pandangan yang lebih terbuka.
“Pembinaan dan pembangunan sesebuah tamadun bukan semata-mata bercirikan elemen kemodenan dan serba konkrit, tetapi dengan memelihara ketinggian nilai budi dan hormat dalam kehidupan sosial.
“Mengambil contoh masyarakat Jepun yang dilihat masyarakat dunia memiliki ciri-ciri kemodenan dan kemajuan yang disegani, namun masih memelihara kesopanan mereka.
Tambahnya, beginilah sesebuah tamadun satu-satu bangsa yang mencapai tamadun madani.
Sesi dialog itu turut dihadiri oleh Timbalan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara, Sharrul Rizal Hashim; dan Pengerusi Jawatankuasa Sasterawan Universiti, Dr. Abdul Jalil Ramli.
Selain dialog, turut diadakan adalah Bengkel Penulisan dan Pengucapan Pantun, Sesi Santai Puisi pada 28 September 2019.
Untuk rekod, sesi 1 Jelajah Sasterawan Negara (JSN 1) 2019 telah dijalankan pada Mac lalu dengan penglibatan SN Datuk Seri A. Samad Said.