- المجموعة: BERITA - Malay
- كتب بواسطة: Aininulniza
Pakej Rangsangan Ekonomi Inisiatif Terbaik Kerajaan - Naib Canselor UniMAP
Oleh : Suhana Abd Mutalib
Arau, 28 Mac – Pakej Rangsangan Ekonomi yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam merupakan antara inisiatif terbaik kerajaan dalam menghadapi situasi ekonomi yang tidak menentu ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) rentetan daripada wabak Covid-19 yang melanda negara.
Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad berkata, perintah PKP bukan sahaja menghadkan pergerakan rakyat tetapi juga telah menjejaskan pendapatan golongan yang bergantung hidup kepada aktivti ekonomi harian antaranya peniaga pasar malam, pasar tani, pekan sehari, penjaja kecil makanan, penanam sayur dan sebagainya.
Menurut beliau, pakej rangsangan ekonomi ini sangat membantu golongan yang berpendapatan rendah khususnya, kerana wang tunai disalurkan kelak semestinya akan dapat membantu mereka untuk menampung perbelanjaan dan keperluan harian seperti makanan, keperluan penjagaan dan kebersihan diri.
“Lebih-lebih lagi jika sesebuah keluarga itu mempunyai ahli yang ramai, bantuan daripada kerajaan ini adalah satu bentuk rahmat dalam ujian. Namun sesuatu yang harus diberikan perhatian kini ialah dalam memastikan kadar kepatuhan terhadap peraturan PKP terus meningkat dan ia hanya dapat dicapai melalui penguatkuasaan.
“Kefahaman masyarakat yang jelas tentang kepentingan menghentikan penyebaran wabak COVID-19 ini, dan kerjasama yang padu daripada keseluruhan rakyat Malaysia untuk mematuhi perintah PKP akan membantu mempercepatkan proses menghentikan rantaian wabak ini di negara kita seterusnya merangsang kembali ekonomi negara,”ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Prof. R Badlishah berkata, perbelanjaan pengguna merupakan komponen penting dalam perbelanjaan domestik yang mana ianya akan memberi kesan pengganda yang besar seterusnya meningkatkan kadar pertumbuhan ekonomi.
Jelas beliau lagi, penyaluran wang dalam ekonomi melalui pakej rangsangan ekonomi ini juga dijangka akan menyebabkan tabungan pengguna bertambah dan ia pastinya akan dapat disalurkan kepada penggunaan yang lebih produktif untuk meningkatkan pengeluaran di dalam ekonomi.
Dalam senario pengajian tinggi pula, beliau berkata, meskipun UniMAP merupakan universiti awam dalam sektor kerajaan yang tidak begitu terjejas menerusi penularan wabak tersebut, namun pengumuman paker tersebut turut memberi manfaat kepada lebih 2,030 staf UniMAP berstatus tetap dan kontrak.
Jelasnya, dengan tema “Memperkukuh Keyakinan, Merangsang Pertumbuhan, Melindungi Pekerjaan”, Perdana Menteri telah berjaya menyimpulkan keseluruhan tema tersebut dalam satu pakej yang mencakupi keseluruhan rakyat Malaysia.
“UniMAP amat bersyukur dengan keprihatinan beliau (Perdana Menteri) dan usaha beliau secara keseluruhannya untuk menangani wabak ini. Justeru marilah sama-sama kita mematuhi PKP ini seterusnya berdoa semoga Malaysia dan negara-negara lain berjaya menangani ancaman wabak ini,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UniMAP, Syahirunnisa Ramli berkata, pemberian wang saguhati RM200 kepada pelajar IPT sudah pasti akan membantu pelajar yang dapat dimanfaatkan untuk menampung perbelanjaan dan keperluan harian masing-masing.
“Tinjauan ringkas saya mendapati rata-rata pelajar gembira dan bersyukur dengan pemberian wang RM200 ini oleh kerajaan. Ada juga yang akan memberi wang tersebut kepada ibu bapa untuk meringankan beban kewangan keluarga, membeli keperluan makanan di rumah kerana ibu bapa tidak boleh menjalankan perniagaan seperti biasa dalam tempoh PKP, ada yang akan simpan wang ini untuk perbelanjaan membeli buku pada semester hadapan.
“Berdasarkan kajian maklumbalas yang dijalankan menggunakan google form semenjak awal sesi PKP dahulu, lebih 50% pelajar UniMAP adalah terdiri daripada keluarga B40, justeru pemberian bantuan ini bukan sahaja untuk kegunaan sendiri, tetapi juga membantu keluarga terutama yang terjejas akibat Covid-19,” jelasnya.