- المجموعة: BERITA - Malay
- كتب بواسطة: Aininulniza
COVID 19: UniMAP Sumbang Terowong Sanitasi Kepada IPK Perlis - BH
Sumber : Berita Harian
KANGAR, 3 April - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menyumbangkan terowong sanitasi kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis bagi kegunaan anggota keselamatan yang bertugas mengekang penularan wabak COVID-19.
Naib Canselor UniMAP, Prof Ir Ts Dr R Badlishah Ahmad, berkata sumbangan itu dibuat selepas mengambil kira faktor petugas barisan hadapan yang berpotensi terdedah kepada wabak berkenaan.
Katanya, sebagai universiti yang khusus dalam bidang kejuruteraan pihaknya akan berusaha membantu petugas dalam memerangi wabak COVID-19 yang melanda negara ketika ini.
“Terowong ini amat praktikal kerana ia berbentuk khemah mudah alih dan boleh diletak di tempat yang berisiko, sekali gus memudahkan petugas menguruskannya.
“Mesin ini beroperasi secara automatik apabila ia mampu menyemburkan kabus sehalus 10-15 micron dengan menggunakan bahan nyah kuman tanpa alkohol kepada individu yang melaluinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada majlis diadakan pagi tadi, Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad menerima sumbangan berkenaan di perkarangan IPK Perlis.
R Badlishah berkata, pihaknya kini sedang berusaha menyiapkan 120 terowong berkenaan untuk diserahkan kepada beberapa agensi kerajaan dan komuniti.
“Setakat ini 21 unit tempahan sudah diterima UniMAP iaitu daripada IPK Sabah, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selain tempahan dari industri perkilangan, hospital serta klinik kesihatan seluruh Malaysia.
“Produk ini mendapat permintaan menggalakkan dan ia dihasilkan sendiri penyelidik Pusat Pengajian Diploma UniMAP yang kini sedang berusaha menyiapkan semua tempahan,” katanya - BH Online