- المجموعة: BERITA - Malay
- كتب بواسطة: Aininulniza
Pelajar UniMAP Dibenar Pulang ke Kampus Ambil Barang Peribadi, Kenderaan
Oleh : Aininulniza Mohd Yusof
Arau, 10 Jun - Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula 18 Mac lalu kini berada dalam fasa pemulihan bermula 10 Jun 2020 yang disebut sebagai PKPP sehingga 31 Ogos 2020 dengan beberapa prosedur operasi standard (SOP) semakin dilonggarkan.
Namun demikian, normal baharu tetap diteruskan bagi memastikan COVID19 tidak lagi menular dan proses pemulihan dalam pelbagai aspek dapat berjalan dengan lancar.
Dalam tempoh ini juga, pelajar sekolah mahupun pusat pengajian tinggi masih tidak dibenarkan oleh kerajaan mengikuti pembelajaran secara bersemuka kecuali pelajar pasca siswazah mod penyelidikan yang bakal kembali ke kampus mulai 1 Julai ini justeru, proses pembelajaran dalam talian terus berlangsung bagi menggantikan pertemuan bersemuka dengan guru dan pensyarah masing-masing.
Hal ini sekaligus menyebabkan segelintir pelajar mengalami kesukaran berikutan banyak barang peribadi seperti laptop, tugasan akhir dan kenderaan yang ditinggalkan di kolej kediaman selepas PKP diumumkan kerajaan.
Justeru, mengambil kira faktor berkenaan pengurusan UniMAP turut mengeluarkan hebahan bagi memudahkan urusan pelajar yang ingin kembali ke kolej kediaman/kompleks perumahan bagi mengambil barang peribadi mereka termasuk kenderaan yang ditinggalkan sebelum pulang ke kampung sebelum ini.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Prof Dr Mohd Foad Sakdan berkata hasil penelitian dan perbincangan yang diadakan pengurusan universiti bersama Pusat Perumahan Pelajar telah membenarkan pelajar kategori tertentu untuk kembali ke kolej kediaman.
Katanya, terdapat tiga kategori pelajar iaitu kategori 1 adalah pelajar-pelajar tahun akhir & pelajar yang akan mengikuti latihan industri, kategori 2 bagi pelajar tahun 1,2 & 3, manakala kategori 3 adalah pelajar yang akan mengikuti semester pendek dan semester tambahan.
“Namun demikian, pelajar diwajibkan membuat permohonan secara dalam talian melalui https://osi.unimap.edu.my yang akan dibuka bermula hari ini (10 Jun) sehingga 14 Jun 2020 dan mereka boleh menyemak status kelulusan permohonan penginapan bermula 11 Jun hingga 15 Jun 2020 manakala pergerakan mereka juga mengikut tarikh yang dibahagikan kepada tujuh zon,” kata beliau dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Tambah beliau, pihak Pusat Perumahan Pelajar yang diketuai Dr Hirwan Jasbir Jaafar bersiap sedia bagi memastikan pelajar mematuhi SOP Pelajar Kembali ke Kolej-kolej Kediaman dan Kompleks Perumahan UniMAP sepanjang tempoh berkenaan bermula 15 Jun hingga 3 Julai 2020.
“Selain itu, hanya pelajar Tahun Akhir dikehendaki mengosongkan barang milik peribadi di bilik penginapan dan membuat penyerahan kunci di pejabat pengurusan kolej kediaman/kompleks perumahan masing-masing.
“Pelajar tahun 1, 2 &3 akan kekal menginap di bilik penginapan sama pada Sidang Akademik 2020/2021 akan datang jadi mereka tidak perlu membuat penyerahan kunci,” kata beliau.
Sementara itu, pelajar pasca siswazah Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Haliza Jaya, sepanjang tempoh PKP beliau dan penyelianya menjalankan perbincangan bagi menyiapkan tesis menerusi dalam talian seperti menggunakan Google Meet.
Katanya, walaupun proses berkenaan nampak mudah namun ia masih mempunyai cabaran tersendiri seperti gangguan internet kurang stabil menyebabkan komunikasi mereka kurang efektif.
“Oleh itu, saya sentiasa mencari jalan mendalami ilmu baharu dalam menggunakan teknologi IR 4.0 agar proses perbincangan saya dengan penyelia juga berjalan dengan lancar bagi menyiarkan tesis dan penerbitan jurnal,” katanya yang berasal dari Tawau, Sabah.
Begitu juga dengan pelajar Pusat Pengajian Kejuruteraan Alam Sekitar (PPKAS) UniMAP, Muhamad Athwad Hakimi Sobri yang kini berada di rumahnya di Bayan Lepas, Pulau Pinang perlu mengikuti kuliah secara dalam talian.
Menurutnya, mengikuti kuliah dalam talian mempunyai cabaran yang tidak kurang hebatnya seperti suasana di rumah yang tidak menentu seperti keluarga melakukan aktiviti membersihkan rumah, capaian internet kurang memuaskan dan bunyi bising kenderaan dari luar kediaman.
“Saya tiada pilihan memandangkan jadual kuliah tetap berjalan seperti biasa dan saya perlu terus memberi fokus agar tidak ketinggalan dalam mengikuti kuliah dalam talian terutama apabila perlu menjawab tugasan atau ujian yang diberi pensyarah.
“Selain itu, saya juga perlu mengikuti perkembangan semasa mengenai hebahan yang dikeluarkan pihak universiti dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi mengetahui info terkini mengenai urusan akademik semasa tempoh ini agar rakan-rakan lain juga tidak ketinggalan mendapatkan maklumat termasuk urusan pulang ke kampus bagi mengambil barang dan kenderaan yang dihebahkan hari ini, “ kata beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Penghuni Kolej Kediaman Kompleks Perumahan Tan Sri Aishah Ghani, ketika dihubungi.
Pada 18 Mei lalu, Naib Canselor UniMAP Prof Ir Ts Dr R Badlishah Ahmad turut mengumumkan bersedia sepenuhnya menerima pelajar kategori pertama iaitu pelajar pasca siswazah mod penyelidikan untuk menyambung kembali penyelidikan masing-masing di kampus mulai 1 Julai ini berdasarkan kenyataan dikeluarkan oleh KPT dengan mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan.