- المجموعة: BERITA - Malay
- كتب بواسطة: Aininulniza
Pelajar UniMAP Raih Tempat Pertama Materials Lecture Competition 2020
Oleh: Aininulniza Mohd Yusof
ARAU, 28 Ogos – Pelajar Tahun Empat Kejuruteraan Metalurgi Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjaya meraih tempat pertama di Materials Lecture Competitiom 2020 (MLC 2020) peringkat kebangsaan anjuran Institut Bahan Malaysia (IMM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai tuan rumah, semalam.
Kejayaan Tan Kai Xin berkenaan sekaligus melayakkan beliau mewakili Malaysia pada pertandingan Young Persons' World Lecture Competition 2020 (YPWLC2020) pada peringkat dunia yang dijangka berlangsung November ini dan negara Hong Kong telah dipilih sebagai tuan rumah.
Tan Kai Xin berkata beliau terpilih menyertai pertandingan berkenaan sejak awal tahun ini, namun disebabkan penularan wabak COVID-19 dan terpaksa pulang ke rumah masing-masing menyebabkan persiapan menghadapi pertandingan itu bermula agak lewat.
Ujarnya, pada akhir bulan lalu barulah beliau mengetahui bahawa pertandingan itu bakal berlangsung pada Ogos menyebabkan persiapan hanya ada sekitar dua minggu sebelum penyerahan video syarahan bertajuk A Step-Transition Mechanism of The Dehydrogenation Process of Titanium Hydride kepada penganjur.
“Saya tidak mempunyai banyak pendedahan mengenai penyampaian topik teknikal tertentu secara terbuka malah ia pula berlangsung secara maya namun saya yakin tanpa sokongan serta bantuan semua pihak terutama Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan, penyelia saya Dr. Nur Farhana Hayazi dan jawatankuasa MLC2020–UniMAP, tidak mungkin dapat menghadapi cabaran ini sekaligus mencipta kejayaan manis ini,” kata beliau yang bergiat aktif dalam pengucapan awam sejak dari sekolah menengah.
Dalam MLC 2020 itu, Kai Xin menewaskan peserta dari Universiti Malaya yang meraih tempat kedua, Universiti Teknologi Petronas (UTP) di tempat ketiga serta 10 peserta universiti awam (UA) dan universiti swasta lain.
Terdahulu Naib Canselor UniMAP, Prof Ir. Dr. R Badlishah Ahmad melahirkan rasa bangga di atas kejayaan pelajar berkenaan sekaligus turut mengharumkan nama universiti.
Ujarnya, beliau berharap kejayaan itu dapat memberi inspirasi kepada pelajar lain untuk mencipta kejayaan dalam apa jua bidang walaupun kini kuliah mahupun pertandingan perlu dijalankan secara norma baharu.
“Saya berharap Tan Kai Xin berjaya memperolehi sekali lagi kejayaan di peringkat dunia kerana beliau bukan sahaja dapat menyerlahkan keterlihatan UniMAP malahan negara Malaysia,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini.
Dalam MLC 2020 itu, Kai Xin berjaya membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 beserta sijil dan piala.