A+ A A-

UniMAP Laksana Pendaftaran Dan Minggu Suai Kenal Secara Dalam Talian

Oleh : Suhana Abd Mutalib

Arau – Susulan daripada peningkatan kes COVID-19 membabitkan beberapa negeri di Malaysia, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bakal mengendalikan proses pendaftaran dan Minggu Suai Kenal (MSK) lebih 2,500 pelajar-pelajar ambilan baharu sesi akademik 2020/2021 secara dalam talian sepenuhnya mulai 10 Oktober ini.

MSK yang bakal berlangsung selama tiga hari itu juga bakal menyediakan satu slot khusus Naib Canselor bersama waris pelajar bagi membolehkan pihak universiti memberikan penjelasan dan maklumat lebih tepat berhubung pengendalian sesi akademik pada semester ini.

 

Naib Canselor UniMAP, Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad berkata, meskipun pemakluman telah dibuat melalui laman web dan media sosial universiti, namun UniMAP merasakan adalah perlu untuk menyediakan satu platform khusus agar ibu bapa dan waris lebih jelas tentang situasi yang melanda sebahagian besar Universiti Awam (UA) di Malaysia ketika ini.

UniMAP menerima banyak pertanyaan dari pelajar dan waris mengenai sidang akademik pada kali ini, justeru saya merasakan adalah perlu untuk UniMAP menyediakan satu platform khusus bagi membolehkan sesi soal jawab antara waris, pelajar dan pengurusan universiti dapat dilaksanakan terutama dalam situasi yang agak meruncing ketika ini,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Prof. R Badlishah seterusnya berkata, buat masa sekarang, UniMAP memutuskan untuk mengangguhkan seketika perjalanan kembali ke kampus terutama membabitkan pelajar dari zon merah sekurang-kurangnya sehingga situasi pandemik kembali reda.

Pada masa sama, jelasnya, UniMAP masih membuka peluang untuk pelajar dari zon hijau atau pelajar yang berdepan dengan masalah mengikuti pembelajaran secara dalam talian untuk kembali ke kampus tetapi diwajibkan mengisi dan menghantar borang deklarasi kesihatan COVID-19.

Prof. R Badlishah berkata, UniMAP sentiasa memastikan kebajikan pelajar terpelihara terutama membabitkan pelajar bagi kategori B40 melalui peruntukan Insentif Khas Kasih UniMAP berjumlah RM1.18 juta.

Menurut beliau, bantuan tersebut merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan UniMAP dalam membantu pelajar bagi membolehkan mereka menjalani proses pengajaran dan pembelajaran dengan lebih baik seterusnya memberi suntikan motivasi kepada pelajar untuk menguruskan kewangan dan kemudahan pengajaran.

Ujarnya, antara insentif yang ditawarkan ialah kemudahan penginapan percuma berjumlah RM250,000 menerusi sumbangan yang diterima daripada dua organisasi iaitu Permodalan Nasional Berhad (PNB) sebanyak RM 100,000 dan Bank Pembangunan Malaysia berjumlah sebanyak RM 150,000.

UniMAP juga akan menyediakan peruntukan data internet berjumlah RM280,000 melalui pelaksanaan secara berfasa selain turut menyediakan bantuan komputer riba kepada penerima yang layak.

“Bagi memastikan pelajar lebih berdikari UniMAP turut menyediakan Insentif Keusahawanan serta Insentif Inovasi untuk projek tahun akhir dengan nilai peruntukan bagi kedua-dua insentif ini ialah berjumlah RM25,000 setiap satu,” jelasnya lagi.

 

Tagged under: UniMAP,