A+ A A-

400 Pelajar UniMAP Selamat Tiba Di Kampus

Oleh : Nurul Aida Othman

PAUH PUTRA, 14 Oktober - Seramai 400 pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah selamat kembali selepas mereka dibawa pulang dari negeri ‘hijau’ masing-masing ke universiti tersebut, baru-baru ini.

Tindakan ini adalah rentetan daripada maklum balas yang diterima oleh UniMAP mengenai kesukaran pelajar untuk mengikuti pembelajaran secara dalam talian sekiranya mereka terus menetap di rumah.

Negeri yang terpilih sebagai destinasi untuk mengambil pelajar adalah Perak, Pulau Pinang, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Pahang dan Kelantan.

 

Salah seorang pelajar tersebut, Noor Hazlina Kamaruzaman, 20, yang berasal dari Perak berterima kasih kepada pengurusan UniMAP kerana prihatin terhadap maklum balas pelajar yang mengalami kesukaran bagi mengikuti pembelajaran dalam talian.

“Berada di rumah sememangnya menyeronokkan tetapi sekiranya saya terus berada di rumah, proses pembelajaran yang dijalankan secara dalam talian akan menjadi sukar kerana capaian internet di kawasan kediaman saya tidak begitu baik.

“Lagipun berada bersama-sama rakan-rakan di kampus memberi lebih manfaat kerana kami dapat berbincang sekiranya ada perkara yang tidak dapat difahami dalam pembelajaran,” katanya.

Tambah pelajar dari Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektronik (FTKEN) itu, UniMAP juga menyediakan kediaman yang selesa sekaligus mengurangkan gangguan ketika belajar.

Turut menyokong kenyataan beliau adalah pelajar Diploma Kejuruteraan Pembuatan, Kalaiyarasi Regu, 18, dari Johor yang yakin bahawa keputusan beliau untuk kembali ke kampus adalah paling tepat kerana fasiliti dan keperluan yang disediakan UniMAP kepada pelajar adalah yang terbaik.

“Malah tindakan UniMAP menghantar bas untuk mengambil kami adalah tindakan yang wajar kerana ia mengurangkan kontak kami bersama orang luar sekaligus dapat mengelakkan penyebaran virus COVID-19.

“Lagipun tiada apa yang kurang di sini kerana UniMAP telah menyediakan semua prasarana yang terbaik buat pelajar dan saya yakin dapat lebih fokus apabila berada di kampus,” katanya.

Untuk rekod, UniMAP telah menyediakan 14 buah bas untuk membawa pulang pelajarnya dari negeri berstatus hijau bagi memudahkan pelajar mengikuti pembelajaran mereka walaupun beberapa negeri dan daerah telah ditutup berikutan peningkatan pandemik COVID-19.