- المجموعة: BERITA - Malay
- كتب بواسطة: Fazemil
UniMAP Terima Penarafan 5 Bintang Bagi Aspek Pembelajaran Dalam Talian
Oleh : Suhana Abdul Mutalib
Arau – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) berjaya menerima pengiktirafan penuh lima bintang bagi aspek pembelajaran dalam talian berdasarkan penilaian oleh Sistem Penilaian Quacquarelli Symonds (QS) Stars Rating.
QS Stars merupakan sistem penarafan yang memberikan gambaran terperinci mengenai institusi mengikut aspek tertentu seperti kekuatan program, kemudahan, kebolehpasaran graduan, tanggungjawab sosial, penyelidikan, antarabangsa dan banyak lagi.
Naib Canselor UniMAP, Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad berkata, kejayaan memperoleh penarafan lima bintang bagi aspek pembelajaran dalam talian merupakan suatu pencapaian yang amat membanggakan yang antara lainnya disumbangkan oleh pejabat Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa (TNCA) serta Pusat Pengurusan Strategik dan Kualiti (SQM).
Ujar beliau, dalam situasi dunia yang masih berdepan dengan gelombang ketiga pandemik COVID-19, kejayaan ini secara tidak langsung membuktikan bahawa UniMAP sentiasa berusaha menawarkan kemudahan yang terbaik buat para pelajar.
“Buat masa sekarang seluruh institusi pendidikan di dunia malah di Malaysia terkesan dengan wabak ini, justeru penawaran aspek pengajaran dalam pembelajaran (PdP) secara dalam talian merupakan solusi terbaik dalam memastikan setiap pelajar dapat meneruskan kuliah seperti biasa.
“UniMAP sendiri sentiasa mencari kaedah terbaik dalam memastikan proses pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian ini dapat dilaksanakan dengan lancar dan pada masa sama memberikan inisiatif yang terkini kepada para pelajar.
“Kejayaan ini bukan semata-mata untuk institusi, tetapi buat seluruh warga UniMAP termasuk pensyarah dan pelajar yang sentiasa memberikan komitmen tinggi untuk meningkatkan kemahiran masing-masing dalam menguasai PdP secara dalam talian ini,” ujarnya.
QS Intelligence Unit merupakan salah satu organisasi audit berprestij yang berpusat di London dan terkenal sebagai salah satu organisasi pengauditan universiti melalui QS World Ranking. Semenjak tahun 2010, unit ini telah membuat penilaian terhadap lebih 270 institusi dari 45 negara.
Mengulas lanjut, Prof. R Badlishah berkata, dalam memastikan semua pelajar dapat mengikuti PdP dengan berkesan, UniMAP semenjak tahun lalu telah melaksanakan transformasi emel ke perkhidmatan awan (CLOUD) iaitu dengan menggunakan perkhidmatan emel percuma yang disediakan oleh Gmail di bawah lessen GSuite For Education.
Jelas beliau, ia melibatkan semua sektor pendidikan seperti google drive, google meet, emel dan kalendar yang membolehkan sehingga kini semua staf dan pelajar UniMAP telah menggunakan perkhidmatan percuma yang dibekalkan oleh Gmail.
“Pada sesi kali ini, UniMAP telah menawarkan tambahan platform PdP iaitu Cisco WEBEX dan Microsoft Teams yang boleh digunakan oleh lebih 1,200 warga akademik UniMAP dalam mengendalikan kuliah dan tutorial masing-masing.
“Bagi memperkasakan lagi proses PdP, capaian internet di dalam kampus juga telah ditingkatkan iaitu dari 2Gbps kepada 10 Gbps dan ia bakal memberikan manfaat kepada pelajar terutama dari zon hijau yang akan mula kembali ke kampus awal November ini,” jelasnya.