- المجموعة: BERITA - Malay
- كتب بواسطة: Fazemil
Dato’ Zul Azhar Tokoh Maal Hijrah UniMAP 1442 Hijrah
Oleh : Nurul Aida Othman
Pauh Putra, 5 November - Mantan Naib Canselor kedua Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Peringkat UniMAP 1442H/2020M.
Majlis penyampaian tersebut telah disempurnakan oleh Naib Canselor UniMAP, Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat UniMAP yang berlangsung di Auditorium Bangunan Canselori, di sini, hari ini.
Prof. Dr. R Badlishah berkata, bertepatan dengan tema Maal Hijrah pada tahun ini, adalah penting kepada warga UniMAP untuk menjadi Ummah Rabbani.
“Wujudnya masyarakat yang bersatu atas kepelbagaian bukanlah sesuatu yang asing dalam Islam dan juga negara kita. Sedangkan di UniMAP juga mempunyai kepelbagaian masyarakat.
“Kita perlu menjadi modal insan yang berkualiti dan menjadi tunjang dalam setiap perancangan universiti.
Tambah beliau, Negara Harmoni atau UniMAP Harmoni dapat direalisasikan dengan mengambil manfaat dari perbezaan dan menolak keburukan yang boleh meruntuh dan membinasakan perpaduan sebagai warga UniMAP.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Imam Besar Negeri Perlis, Al-Fadil Ustaz Ahmad Sirajuddin Abdul Satar.
Selain Anugerah Tokoh Maal Hijrah, satu anugerah baharu iaitu Anugerah Khas Al-Insan turut diperkenalkan khusus kepada warga UniMAP bukan beragama Islam.
Terdapat lagi beberapa anugerah turut diberikan kepada warga UniMAP dan agensi luar yang banyak memberikan khidmat dan sumbangan kepada UniMAP.
Antara anugerah yang diberikan adalah Anugerah Al-Falah (dua penerima); Anugerah Personaliti Maal Hijrah (empat penerima); Anugerah Tokoh Siswa (tiga penerima); Anugerah Khas Pencetus Ummah (satu penerima); Anugerah Sahabat Pusat Islam (tiga penerima); Anugerah Khas Agensi Terbaik (dua penerima); dan anugerah baharu iaitu Anugerah Khas Al-Insan (tiga penerima).
Untuk rekod, ini merupakan kali keempat UniMAP mengadakan majlis ini dengan 19 penerima berbanding tahun lepas iaitu 17 penerima.