- المجموعة: BERITA - Malay
- كتب بواسطة: Fazemil
UniMAP Ungguli ITEX 2020
Oleh : Suhana Abdul Mutalib
Arau – Kumpulan penyelidik dari Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengungguli 31st International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX) 2020 dengan meraih 30 pingat emas sekali gus menerima pengiktirafan Golden Awards 2020 mengatasi kesemua institusi lain yang mengambil bahagian.
Program anjuran Concept, Innovative & Strategy (C.I.S) Network Sdn. Bhd. dengan kerjasama Malaysian Invention and Design Society (MINDS) itu turut menyaksikan pasukan penyelidik UniMAP mencatatkan kejayaan seratus peratus kemenangan apabila turut membawa pulang 18 pingat perak dan dua pingat gangsa.
Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) UniMAP, Prof. Ts. Dr. Mohd. Mustafa Al-Bakri Abdullah berkata, antara penyumbang kejayaan pasukan penyelidik UniMAP ialah menerusi produk inovasi dan penyelidikan yang berkaitan dengan situasi semasa iaitu pandemik COVID-19.
Beliau yang juga pemangku Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UniMAP menjelaskan, pemilihan penyelidik untuk menyertai ITEX 2020 pada kali ini telah disaring di peringkat UniMAP berdasarkan pencapaian pada Ekspo Penyelidikan dan Inovasi UniMAP (EREKA) anjuran Pusat Inovasi dan Pengkomersialan (CIC) UniMAP.
“UniMAP bersyukur kerana strategi mengetengahkan produk inovasi yang memberi impak kepada penyelesaian masalah komuniti terutama berkaitan isu pandemik COVID-19 berjaya menarik perhatian para juri. Sasaran kita pastinya untuk mengetengahkan produk ini ke tahap yang lebih tinggi untuk manfaat komuniti namun pada masa sama kejayaan ini juga diharap dapat meningkatkan tahap pencapaian UniMAP dalam MyRA pada tahun ini.
“Buat masa sekarang, produk hasil penyelidikan bersama Naib Canselor UniMAP Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad dan Ketua Pegawai Digital UniMAP Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad iaitu UniMAP Geo-Location Based Attendance and Analytical System - Covid19 Outbreak telah mula mendapat perhatian agensi kerajaan dan swasta dan kami mengharapkan peluang yang sama turut diberikan kepada inovasi lainnya,” jelas beliau.
ITEX 2020 yang dirancang penganjuran secara fizikal terpaksa ditukar formatnya kepada penjurian secara dalam talian sepenuhnya bermula 12 hingga 21 November itu disertai oleh 21 universiti tempatan, lima institusi penyelidikan, satu institutusi korporat dari 15 buah negara di seluruh dunia.
UniMAP turut merangkul pingat emas menerusi produk inovasi In-House Medical Diagnostic Device for Covid-19 Detection yang diketuai oleh Prof. Ts. Dr. Uda Hashim dan Starch-Ethanol: A Great Way to Produce Ethanol from Tapioca for Hand Sanitizer Production oleh Prof. Madya Dr. Mohd Irfan Hatim Mohamed Dzahir.
Turut meraih pingat emas, produk inovasi Microcontroller-Based Clinical Samples Arrival Alert System oleh Ir. Tunku Muhammad Nizar Tunku Mansur serta Advanced Multi-Surface Disinfectant System SPC19AMDS oleh Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Shahriman Abu Bakar.
Mengulas lanjut, Prof. Mohd. Mustafa berkata, pada tahun ini juga, ITEX 2020 turut menawarkan empat anugerah khas bagi penyelidikan terbaik dalam kategori teknikal dan vokasional membabitkan empat kategori utama iatu penyelidik dari universiti dan institusi pendidikan serta tiga kategori lagi membabitkan penyelidik muda dari sekolah rendah, sekolah menengah dan universiti.
Anugerah ini jelasnya, merupakan komitmen bersama empat universiti dalam rangkaian Malaysia Technical University Network (MTUN) iaitu UniMAP, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang antara lainnya bertujuan memartabatkan agenda pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) di Malaysia.