A+ A A-

UniMAP Fokus Agenda Keusahawanan Pelajar

Oleh : Suhana Abdul Mutalib

Arau – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) komited untuk memperkasa agenda keusahawanan pelajar dengan fokus kepada keusahawanan digital serta meningkatkan kemahiran dan penguasaan teknologi pelajar terutama dalam mendepani cabaran pandemik COVID-19 kini.

Naib Canselornya, Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad berkata, ia juga selaras dengan agenda Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk melahirkan lebih ramai graduan yang mampu menjadi job creator (penyedia peluang pekerjaan) dan tidak hanya mengharapkan peluang pekerjaan sedia ada.

Menurut beliau lagi, UniMAP ingin menjadi sebahagian daripada Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) yang menyumbang secara langsung kepada ekonomi negara melalui aktiviti keusahawanan pelajar di universiti dan pada masa sama menyasarkan sekitar lima pratus graduan yang memiliki perniagaan selepas tamat pengajian.

“Buat masa sekarang, hala tuju keusahawanan UniMAP adalah selari dengan hasrat KPT menerusi Pelan Tindakan Keusahawanan IPT 2016-2020 yang berteraskan kepada kesedaran (awareness), pemerkasaan (empower) dan pelengkap (equip).

 

“Dalam konteks ini, 100 peratus pelajar UniMAP telah diberikan pendedahan akan ilmu keusahawanan melalui mata pelajaran elektif dan wajib universiti yang perlu diikuti sepanjang pengajian termasuk berkaitan keusahawanan digital dan teknologi selain turut menekankan kepada usaha melahirkan 15 peratus usahawan pelajar sepanjang tempoh pengajian.

“Atas dasar itu, UniMAP menyambut baik usaha KPT dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) yang memilih UniMAP sebagai IPT Perintis dalam menjayakan Program KPT-MEDAC Siswapreneur dengan peruntukan pembiayaan keseluruhan sebanyak RM20 juta khusus bagi pelajar memulakan dan mengembangkan perniagaan,” katanya.

KPT dan MEDAC minggu lalu telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) sebagai langkah strategik untuk mempermudah golongan usahawan pelajar mendapat pembiayaan mikro kredit melalui TEKUN Nasional.

Selain UniMAP, 11 buah politeknik dan kolej komuniti serta tiga lagi universiti awam turut tersenarai sebagai perintis antaranya Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Sultan Zainal Abidin dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah dan Kolej Komuniti Arau.

Mengulas lanjut, Prof. R Badlishah berkata, di peringkat UniMAP, program tersebut telah menerima maklum balas yang menggalakkan dari pelajar dan sehingga kini beberapa usahawan pelajar telah disenarai pendek dengan sebahagia besar darinya telah menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan di sekitar kampus dan di luar kampus.

UniMAP bagaimanapun ujar beliau perlu menjalankan beberapa prosedur terlebih dahulu termasuk akan bekerjasama dengan TEKUN Cawangan Perlis untuk menjalankan sesi temuduga sebelum meluluskan sebarang pembiayaan.

“Antara yang telah mengemukakan permohonan ialah Mohammad Fauzan Abdul Aziz dari Fakulti Sains Gunaan dan Kemanusiaan (FSGM) yang kini menjalankan perniagaan nasi kerabu di dalam kampus serta Nurul Madihah Mohd. Adnan pelajar jurusan Perniagaan Antarabangsa juga dari FSGM yang menjalankan perniagaan pakaian.

“Saya yakin program ini mampu untuk menjadi perangsang kepada pelajar UniMAP menceburi bidang keusahawanan di UniMAP bagi seterusnya menjadi pelengkap kepada hampir 200 usahawan yang telah berjaya dilahirkan melalui program – program sebelum ini hasil penajaan KPT dan UniMAP sendiri.

“Bagi menyuburkan nilai keusahawanan dan inovasi dalam kalangan pelajar, UniMAP turut menyediakan Insentif Keusahawanan serta Insentif Inovasi untuk projek tahun akhir dengan nilai peruntukan bagi kedua-dua insentif ini ialah berjumlah RM25,000 setiap satu.
“Pada masa sama, UniMAP melalui Bahagian Kerjaya dan Keusahawanan, Pusat Keusahawanan, Jaringan Industri dan Masyarakat (CEICnet) telah merancang penganjuran pelbagai kursus keusahawanan kepada pelajar antaranya refleksi diri usahawan muda, membangunkan skil dan minda keusahawanan pelajar dan strategi pengembangan perniagaan Uni-TEKUN.