- المجموعة: BERITA - Malay
- كتب بواسطة: Fazemil
Penyelidik Wanita UniMAP Raih Pengiktirafan LÓreal – UNESCO For Woman In Science 2020
Oleh : Suhana Abdul Mutalib
Kangar – Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (FTKM) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dr. Umi Fazara Md Ali, berjaya menerima pengiktirafan antarabangsa LÓreal-UNESCO For Woman In Science bagi tahun 2020 menerusi hasil penyelidikannya yang memberi fokus kepada aspek pemanasan global dan perubahan iklim.
Kejayaan tersebut membolehkan Dr. Umi Fazara menerima geran penyelidikan bernilai RM30,000 bagi mengendalikan kajian beliau yang bertajuk Production of Novel Adsorbent From Agricultural Waste Functionalized With Deep Eutectic Solvent (DES) For CO2 Capture and Utilization (CCU).
Menurut Dr. Umi Fazara, secara ringkasnya, hasil kajian beliau yang menggunakan sisa buangan pertanian terutamanya kelapa sawit sebagai satu penyelesaian kepada pembebasan gas Karbon Dioksida (CO2) yang merupakan gas rumah hijau yang terdapat di dalam atmosfera bumi.
“Peningkatan gas CO2 ini menyebabkan berlakunya peningkatan suhu di bumi seterusnya mengurangkan udara bersih. Ia memberikan kesan dan impak yang cukup besar kepada pemanasan global dan perubahan iklim di dunia.
“Sehingga kini, kita masih berdepan dengan isu kesedaran awam yang mana masyarakat masih belum memahami dan menghayati betapa seriusnya fenomena perubahan iklim. Oleh itu sebagai satu alternatif, saya tampil dengan hasil kajian ini yang mampu memerangkap gas CO2 untuk kegunaan pelbagai proses kimia,” ujarnya yang merupakan penerima kelima UniMAP yang berjaya memperoleh pengiktirafan tersebut.
UniMAP sebelum ini pernah melahirkan empat penerima anugerah Woman In Science yang dianjurkan oleh LÓREAL Malaysia iaitu Prof Madya Dr. Ong Hui Lin pada tahun (2010), Prof Madya Dr. Ruslinda A. Rahim (2012), Prof Madya Dr. Hakimah Osman (2013) dan Prof Madya Dr. Norhafiza Mohamad (2014).
Mengulas lanjut, Dr. Umi Fazara berkata, hasil penyelidikan saintifik ini diharap dapat menarik minat masyarakat terutama dalam kalangan industri dan seterusnya menempatkan Malaysia sebagai pusat penyelidikan terunggul dalam bidang ini di peringkat global.
“Saya percaya usaha ini mampu menyumbang kepada pengurusan teknologi lestari yang lebih baik dan ia selari dengan hasrat negara untuk mengurangkan intensiti pelepasan per unit CO2 sehingga tahap 40 peratus dan seterusnya mencapai tahap 45 peratus pada tahun 2030.
“Inisiatif ini juga adalah sebahagian dari usaha untuk menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ketujuh dan 13 iaitu menjamin capaian kepada tenaga berpatutan, dipercayai, mampan dan moden kepada semua serta menangani perubahan iklim serta kesannya dengan mengawal pengeluaran gas rumah hijau dan menggalakkan pembangunan tenaga boleh diperbaharui,” jelasnya.
Dalam pada itu, Naib Canselor UniMAP, Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad berkata, persepsi, ketokohan atau kerjaya saintis yang seringkalinya dikaitkan dengan lelaki perlu di ubah bagi memberi peluang kepada saintis wanita untuk meningkatkan lagi keupayaan dan potensi saintis wanita di persada dunia.
Ujarnya, persepsi ini bukan berpunca dari kemampuan mahupun keupayaan mereka sendiri sebaliknya lebih kepada kurangnya peluang dan platform untuk mereka menonjolkan diri dan meningkatkan ruang kesaksamaan kepada semua penyelidik.
“Saya menyambut baik inisitif LÓreal dalam meneruskan penganugerahan Woman In Science namun mengharapkan lebih banyak inisiatif seperti ini dianjurkan oleh pengamal industri. Di peringkat UniMAP pula, kami telah mengambil beberapa inisiatif untuk memastikan para saintis dan penyelidik wanita di universiti ini terus diberikan peluang dan ruang yang sama seperti penyelidik dan saintis lelaki.
“Ini termasuklah dalam aspek mengetengahkan penyelidik-penyelidik dan saintis wanita dalam pelbagai platform persidangan, pertandingan penyelidikan dan program mobiliti di dalam dan luar negara bagi memastikan mereka terus meningkatkan kecemerlangan dan menghasilkan lebih banyak kajian yang memberi impak kepada masyarakat,” ujar beliau.