- المجموعة: BERITA - Malay
- كتب بواسطة: Fazemil
100 Pelajar Nikmati Insentif Khas Kasih UniMAP
Oleh : Nurul Aida Othman
PAUH PUTRA, 7 Disember - Seramai hampir 100 pelajar Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menikmati insentif sumbangan di bawah Program Insentif Khas Kasih UniMAP.
Mereka adalah 51 penerima komputer riba manakala bakinya 46 pelajar bakal menikmati penginapan percuma sepanjang pengajian mereka.
Naib Canselor UniMAP, Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad berkata UniMAP sepanjang penubuhannya sentiasa memandang serius perkara yang melibatkan kebajikan pelajar dan stafnya.
“Apabila negara turut terkesan dengan penularan pandemik COVID-19, UniMAP telah mengambil langkah-langkah bertepatan untuk membantu kebajikan pelajar dengan melancarkan Insentif Khas Kasih UniMAP pada bulan Julai lalu dan sedang dilaksanakan secara berperingkat sekarang ini.
“Ini bagi memastikan kebajikan dan kepentingan warga UniMAP terjaga supaya dapat bekerja dan belajar dalam keadaan yang selesa dengan fasiliti yang lengkap dan terbaik,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sumbangan di Bawah Program Insentif Khas Kasih UniMAP, baru-baru ini.
Ujar beliau, insentif ini bertujuan untuk membantu pelajar dari pelbagai sudut khususnya pelajar yang kurang berkemampuan (dari keluarga B40), anak yatim piatu dan mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
“Terdapat tujuh perkara utama yang diberi fokus iaitu penginapan percuma; data internet; komputer riba; tabung amanah zakat; tabung dedikasi diri; keusahawanan; dan inovasi.
“Namun, semua sumbangan ini akan kita salurkan secara berperingkat dan saya berharap penerima insentif akan bersabar kerana ia melibatkan jumlah yang besar dari segi kewangan dan jumlah penerima,” katanya.
Antara pihak yang menyumbang dalam program ini ialah Permodalan Nasional Berhad (PNB); IR SAF Holiday & Ekspress Sdn Bhd; FND Empire Sdn Bhd; dan orang perseorangan.
Pada majlis sama, Prof. Dr. R Badlishah turut menyaksikan sumbangan tiga unit penapis air yang disampaikan oleh wakil Surau Pauh Putra kepada Kolej Kediaman dan Jabatan Keselamatan.