A+ A A-

65 Staf UniMAP Dinaikan Pangkat

Oleh : Nurul Aida Othman

Pauh Putra, 9 Disember - Seramai 65 staf Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dari pelbagai peringkat dinaikan pangkat berkuatkuasa 1 Disember 2020.

Mereka ialah 31 orang dari Kumpulan Pelaksana, 11 dari Kumpulan Pengurusan Dan Profesional (Bukan Akademik) dan 23 staf dari Kumpulan Pengurusan Dan Profesional (Akademik) yang terdiri dari jawatan Guru Bahasa dan Pegawai Latihan Vokasional.

Naib Canselor UniMAP, Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad berkata, kenaikan pangkat ini adalah berdasarkan merit dan prestasi cemerlang staf dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing.

“Semasa sesi temuduga, setiap calon yang diperakukan kenaikan pangkat ini diberikan KPI yang bersesuaian yang perlu dicapai.

“Itu adalah cabaran yang perlu digalas oleh semua staf agar universiti dapat bergerak secara selari berpandu ke arah pelan strategik universiti,” katanya pada Majlis Penyerahan Surat Tawaran Kenaikan Pangkat Tahun 2020 baru-baru ini.

 

Tambah Prof. Dr. R Badlishah lagi, KPI tersebut perlulah bersesuaian bagi memastikan tugasan kerja, beban tugas selari dan bersesuaian dengan gred jawatan yang disandang.

Dalam pada itu, beliau turut berpesan bahawa tugas dan tanggungjawab dipikul adalah sangat meluas dan berat serta cabaran-cabaran yang bakal dihadapi juga bertambah dan berbeza dari sebelumnya.

“Kenaikan pangkat ini datangnya bersama tanggungjawab dan amanah lebih besar di mana sudah semestinya universiti mengharapkan komitmen lebih tinggi daripada staf agar dapat menyumbang kembali kepada Universiti.

“Malah kenaikan pangkat ke jawatan lebih tinggi juga bermakna anda akan menjalankan amanah dengan ‘kuasa’ yang tertentu dan berharap kuasa yang diberikan tidak mengubah keperibadian staf untuk berasa diri hebat dan kemudian menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri dan keluarga,” katanya.

Beliau menggesa staf untuk bekerja dengan jujur, ikhlas, adil dan saksama serta penuh berintegriti.