- المجموعة: BERITA - Malay
- كتب بواسطة: Syed Abu Bakar Syed Ahmad
KSU II Lancarkan Pra-Perasmian Kolej Kediaman Baru UniMAP
Pauh Putra, 27 Februari – Kolej Kediaman Pauh Putra Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) hari ini melakar sejarah apabila dilawati Ketua Setiausaha (KSU) 2, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) Dato’ Seri Ir. Dr Zaini Ujang.
Lawatan kerja ini adalah sempena Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Kementerian (JTPK), KPM Sektor Pengajian Tinggi Bil 2/2015 yang diadakan di Auditorium Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP), di sini.
Sempena lawatan berkenaan Dato’ Seri Zaini turut melancarkan Pra-perasmian kolej kediaman berkenaan sempena pembukaan kolej baru itu pada 21 Februari lalu yang kini sudah diduduki seramai 2,010 orang pelajar.
Dato’ Seri Zaini berkata kolej kediaman berkenaan adalah salah satu projek pembangunan baru yang sudah disiapkan UniMAP dengan kerjasama syarikat swasta bagi menyediakan kemudahan kediaman kepada pelajarnya.
“Usaha ini adalah satu usaha strategis bagi menyediakan kemudahan di universiti ini tanpa perlu mengeluarkan wang kerajaan dan seharusnya dijadikan contoh oleh universiti lain dengan mengamalkan “interpreneural mindset” seperti ini.
“Walaupun sebagai sebuah universiti baru, UniMAP telah berjaya menonjolkan pencapaian tinggi dalam bidang penyelidikan ini berupaya membangunkan kemudahan-kemudahan kepada pelajarnya tanpa syarat,” kata beliau ketika sidang media sempena pra-perasmian kolej kediaman baru berkenaan.
Hadir sama ke majlis berkenaan ialah Setiausaha Bahagian Pembangunan Sektor Pendidikan Tinggi KPM, Dato’ Mahamed Hussain dan Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin.
Terdahulu, Dato’ Seri Zaini dan delegasi KPM turut dibawa melawat rumah contoh di kolej kediaman berkenaan yang kini diduduki oleh pelajar tahun tiga dan empat dari lima pusat pengajian kejuruteraan (PPK) yang terdapat di kampus tetap berkenaan.