- المجموعة: BERITA - Malay
- كتب بواسطة: Fazemil
PUSAT AKTIVITI PELAJAR UniMAP KINI DIBUKA
Oleh: NURUL AIDA OTHMAN
PAUH PUTRA, 1 Januari - Bagi memperkasakan aktiviti Kelab dan Persatuan di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Pusat Aktiviti Pelajar yang sebelum ini dikenali Student Union Lounge telah di buka secara rasminya hari ini.
Menurut Naib Canselor UniMAP, Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad, pusat ini dipertanggungjawabkan kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UniMAP bagi urusan tadbir urus pusat tersebut.
“Pihak universiti bersetuju untuk menyerahkan urusan tadbir urus tempat ini kepada MPP mulai 8 Julai 2020 lalu, malah UniMAP juga telah memperuntukan dana sebanyak RM25,000 untuk pembangunan dan kegunaan pusat ini.
“Tahniah kepada pelajar MPP kerana dalam masa 5 bulan berjaya membangunkan dan mengubah pusat ini menjadi ruang yang sesuai sebagai tempat pertemuan dan penggumpulan pelajar-pelajar yang aktif dalam kelab dan persatuan,” katanya ketika berucap merasmikan Pusat Aktiviti Pelajar dan Pemberian Insentif Khas kasih UniMAP.
Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniMAP, Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan dan wakil Celcom Axiata, Hafizi Mohd Padely iaitu Ketua Sektor Awam Celcom Axiata Berhad Kuala Lumpur.
Ujar Prof. Dr. R Badlishah, penubuhan Pusat Aktiviti Pelajar adalah sebagai tempat untuk pelajar berkumpul, berbincang dan merapatkan silaturrahim malah mereka tidak akan mengalami masalah akses internet kerana mempunyai kelajuan yang tinggi.
“Saya kira ruangan yang ada iaitu ruang santai; studio; bilik mesyuarat dan tandas akan memberi kemudahan dan keselesaan kepada pelajar untuk berkumpul dan juga berkampung jika ada keperluan mendesak dalam aktiviti yang dianjurkan kelab atau persatuan mereka.
“Malah terdapat galeri Hall Of Fame yang mempamerkan kedudukan (ranking) kelab dan persatuan yang aktif sepanjang 2019/2020 yang sekaligus menjadi tiket kepada pelajar untuk bergiat aktif dan menyerlahkan potensi diri dalam aktiviti yang bakal dianjurkan.
Tambahnya lagi, pusat ini diberikan kepada pelajar dengan mengambil kira pelbagai sudut yang memberi manfaat kepada mereka antaranya lokasinya strategik berdekatan dengan Bangunan Canselori, P3P, Fakulti, padang dan juga kafeteria.
“Saya berharap para pelajar akan dapat memanfaatkan Pusat Aktiviti Pelajar ini dengan sebaiknya untuk memperkasakan kelab dan persatuan di UniMAP,” katanya.
Turut diadakan dalam majlis ini adalah penyerahan sumbangan Insentif Khas Kasih UniMAP kepada pelajar UniMAP dari golongan B40 dan juga yang terjejas dengan pandemik COVID-19.