- المجموعة: BERITA - Malay
- كتب بواسطة: Fazemil
UniMAP MULAKAN MISI BANTUAN BANJIR KEPADA PELAJAR
Oleh: NURUL AIDA OTHMAN
PAUH PUTRA, 6 Januari - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) hari ini telah menghantar seramai lapan sukarelawan bagi menyantuni 25 pelajar universiti tersebut yang terkesan akibat banjir di beberapa buah negeri dalam Misi Sukarelawan UniMAP: Ops Kasih Banjir 2021.
Naib Canselor UniMAP, Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah berkata, seramai 25 pelajar dengan pecahan 15 di Pahang, dua (2) di Kelantan; empat (4) di Terengganu; dan empat orang masing-masing seorang di kedah, seorang di Perak, seorang di Selangor dan seorang di Johor telah dikenalpasti terlibat dalam musibah ini.
“Sukarelawan dipecahkan kepada dua kumpulan iaitu Team A yang akan bergerak ke Kelantan dan Terengganu; dan Team B ke Kedah, Perak, Selangor, Johor dan Pahang.
“Misi ini akan dilaksanakan selama tiga hari bermula hari ini hingga 8 Januari dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) berkaitan pandemik COVID-19 yang sebaiknya,” kata Prof. Dr. R Badlishah ketika ditemui selepas melakukan pelepasan kepada delegasi yang diketuai oleh Irhamuddin Mansor dari Pusat Pembangunan dan Perkhidmatan Pelajar (P3P).
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UniMAP, Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan; Pengarah P3P UniMAP, Prof. Madya Ir. Dr. Muzammil Jusoh; dan Timbalannya, Dr. Norshah Aizat Shuaib serta Pengarah Keselamatan UniMAP, Mustaffa Ismail.
Ujar Prof. Dr. R Badlishah lagi, pihak UniMAP akan berkunjung ke tempat tinggal pelajar yang terkesan dan menyampaikan bantuan bagi meringankan beban pelajar UniMAP dan keluarga mereka.
“Bentuk sumbangan yang akan diberikan adalah berupa wang tunai; makanan dan barang keperluan lain yang kita harap dapat meringankan bebanan keluarga tersebut dan membantu mereka mengharungi dugaan ini.
“Malah selepas banjir mulai reda, UniMAP berhasrat untuk membantu dari segi kerja-kerja pembersihan kawasan tempat tinggal yang dilanda banjir dan program ini akan melibatkan kumpulan pelajar dari badan kokurikulum seperti PALAPES dan SUKSIS yang kita anggarkan seramai 40 orang,” katanya.
Selain itu, beliau turut berharap agar pelajar yang menyertai misi sukarelawan ini akan terus berbakti kepada masyarakat walaupun selepas tamat belajar nanti.
“Semoga aktiviti sukarelawan yang disertai pelajar ini akan terus menyemarakkan semangat mereka untuk membantu masyarakat di sepanjang kehidupan,” katanya.