A+ A A-

UniMAP Perkemas SOP Kemasukan Pelajar

OLEH: SUHANA ABD MUTALIB

 

ARAU,1 FEB – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) akan memperkemas semula prosedur operasi standard (SOP) kemasukan pelajar ke universiti itu susulan pengumuman terkini yang dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) semalam.

Naib Canselornya, Prof. Ir. Ts. Dr. R Badlishah Ahmad berkata, pihaknya melalui Pejabat Timbalan Naib Canselor (TNC) Akademik dan Antarabangsa telah menyediakan garis panduan lengkap kemasukan pelajar secara berperingkat yang akan bermula 22 Mac ini.

 

Menurut beliau, garis panduan tersebut bagaimanapun akan disesuaikan semula dengan enam kategori pelajar yang dibenarkan kembali ke kampus bermula 1 Mac seperti yang diumumkan oleh KPT semalam.

Jelasnya, dalam situasi pandemik yang semakin merucing ini, apa sahaja keputusan yang dilaksanakan adalah bagi memastikan keselamatan pelajar sepenuhnya terutama selepas negeri Perlis turut mencatatkan status zon merah kini.

“Pemakluman khusus berhubung kemasukan pelajar ke UniMAP akan dikeluarkan sebaik sahaja menerima kata putus status pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) di negeri ini yang dijadualkan berakhir 4 Februari ini.

“Secara keseluruhannya, kami menyambut baik keputusan ini dan sentiasa akan memberikan kerjasama erat demi memastikan kebajikan pelajar terpelihara,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan KPT semalam yang membenarkan aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara hibrid membabitkan enam kategori pelajar di dalam kampus manakala pelajar-pelajar lain akan meneruskan sesi pembelajaran secara dalam talian di lokasi masing-masing.

Enam kategori pelajar yang dibenarkan kembali ke asrama adalah pelajar program pengajian peringkat Sijil, Diploma, Ijazah Sarjana Muda dan Pasca Siswazah yang memerlukan praktikal, makmal, klinikal, latih amal, studio, bengkel dan peralatan khas; pelajar yang tidak mempunyai akses dan persekitaran tidak kondusif bagi melaksanakan PdP dalam talian dan pelajar Asasi atau Setara dan Diploma yang sedia ada di kampus.

Turut dibenarkan mengikuti pengajian hibrid di kampus ialah, semua pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu kecuali dari United Kingdom, pelajar Berkeperluan Khas (OKU); dan pelajar yang menduduki peperiksaan Malaysian University English Test (MUET), antarabangsa serta badan profesional.

Dalam pada itu, TNC Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd. Rizal Arshad berkata, susulan pengumuman terkini itu, pihaknya menjangkakan sekitar 50 peratus pelajar UniMAP akan berada di dalam kampus bagi mengikuti pelajaran secara hibrid.

Beliau memberitahu, kesemua pelajar tersebut yang dianggarkan berjumlah sekitar 5,000 pelajar merupakan pelajar yang tergolong dalam kelompok enam kategori pelajar yang dibenarkan kembali ke kampus.

“Buat masa sekarang, sekitar 30 peratus telah berada di dalam kampus semenjak awal semester yang lalu. Justeru kita menjangkakan baki pelajar yang berkeperluan akan kembali ke kampus secara berperingkat Mac ini.

UniMAP telah bersedia dengan semua SOP lengkap termasuk menyediakan pusat isolasi khusus untuk pelajar-pelajar yang bergejala, berisiko serta pelajar-pelajar yang datang dari zon merah dengan kapasiti sekitar 1,000 pelajar pada satu-satu masa,” katanya.