A+ A A-

Penyelidikan Baja Organik UniMAP dan JOF Guna Kaedah Mesra Alam

OLEH : AININULNIZA MOHD YUSOF

PADANG BESAR, 10 Mac – Penyelidikan baja organik cair terhadap kualiti penanaman padi huma, ikan puyu, anggur, harumanis di kawasan terbuka dan harumanis di dalam rumah hijau menjadi pendorong jalinan kerjasama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan syarikat industri pertanian tempatan.

Jalinan itu sekaligus dimerterai menerusi memorandum perjanjian (MoA) di antara universiti kejuruteraan berkenaan dengan Jawi Organic Farm Sdn Bhd (JOF) bagi memperkasakan aktiviti penyelidikan berkaitan baja organik itu.

 

Naib Canselor UniMAP Prof Ir Ts Dr R Badlishah Ahmad berkata menerusi perjanjian itu, adalah menjadi tanggungjawab UniMAP menjalankan penyelidikan yang dihasilkan JOF agar dapat dimanfaat sebaiknya.

Ujarnya, bagi pihak JOF pula menyediakan kemudahan fasiliti untuk perlaksanaan projek penyelidikan di bawah “Green Agriculture Project” itu seperti peralatan dan kos penyelidikan.

“Pendek kata, kerjasama antara UniMAP dan JOF ini bukan sahaja mengeratkan hubungan universiti dengan pihak industri pertanian malah jumlah kertas penyelidikan mengenai bidang pertanian juga semakin bertambah,” katanya ketika berucap di Majlis Menandantangani MOA di Institut Agroteknologi Lestari (INSAT) UniMAP di Sungai Chuchuh, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Prof Ir Ts Dr Mohd Rizal Arshad, Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) UniMAP, Prof Ts Dr Mohd Mustafa Al-Bakri Abdullah yang menjalankan fungsi sebagai Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UniMAP , Pengarah Urusan JOF Ismail Ahmad,  Pengarah INSAT Prof Dr Ir Ts Abu Hassan Abdullah dan delegasi JOF.

Sementara itu, Ismail berkata baja dari campuran pelbagai jenis herba formulasi itu berfungsi sebagai hormon penggalak penyerapan nutrien daripada tanah dengan kaedah mesra alam.

Ujarnya, herba berkenaan turut mengandungi bahan mikronutrien yang membantu organisma lain yang mengurai bahan kompleks untuk diserap tumbuhan.

“Kaedah pembajaan sesuai membolehkan bahagian tumbuhan yang rosak atau bermasalah turut pulih dengan bantuan kandungan dalam baja itu malah lebih istimewa, baja ini tidak merbahaya kepada pengguna kerana penggunaan dengan nisbah kuantiti yang kecil,” katanya, di sini.