A+ A A-

POTENSI UniMAP BAKAL ANJUR ISUM


Oleh: Nurul Aida Othman

PAUH PUTRA, 29 Jun - Perubahan sentiasa berlaku pada setiap masa tanpa mengira sama ada kita sedar atau pun tidak lebih-lebih lagi dalam krisis kesihatan global hari ini.

Apa yang boleh dilakukan adalah mengadaptasi setiap perubahan dan bertindak mengetuai perubahan mengikut situasi semasa agar kita terus fokus untuk masa hadapan yang lebih baik dalam keadaan krisis yang tidak menentu demi kelangsungan hidup.

Atas rasa tanggungjawab itu, Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas UniMAP (POTENSI) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terpanggil untuk menganjurkan seminar antarabangsa, International Seminar on University Management (ISUM) yang dijangka akan berlangsung secara dalam talian pada 18 dan 19 Ogos 2021 ini.

Seminar yang dianjurkan dengan kerjasama Universitas-Universitas di Bandung Indonesia, Fakulti Sains Gunaan dan Kemanusiaan (FSGM), Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) UniMAP dan MASTI diadakan sempena sambutan Hari Pentadbir Universiti Awam ke-6 yang di sambut pada bulan Ogos setiap tahun.



Mengangkat tema Gearing Towards The Future: Leading Change In The New Norm, seminar ini memberi fokus kepada fasa mengetuai perubahan dalam membina kesinambungan kehidupan khususnya dalam memimpin organisasi disebabkan oleh pandemik COVID-19 yang sekali gus memerlukan kita melihat ia sebagai satu peluang untuk berfikir dan bertindak dari konteks yang berbeza.

Seminar yang diadakan buat kali kedua ini juga akan membincangkan lebih 12 sub-tema berkaitan perubahan terbaik yang boleh dilakukan agar kita mampu keluar dari zon selesa; berani mencuba sesuatu yang baru; dan meraikan kreativiti.

Lebih menarik ucaptama akan disampaikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dato' Seri Dr. Noor Hisham Abdullah; dan Rektor-Rektor Universitas Di Bandung Indonesia, serta rakan strategik yang lain dari luar negara.

Penyertaan masih dibuka kepada sesiapa yang berminat dan untuk keterangan lanjut sila layari laman sesawang www.isum.edu.my atau boleh menghubungi pihak urusetia di talian 017-4306229 atau 017-4045003.