- المجموعة: BERITA - Malay
- كتب بواسطة: Fazemil
521 MAHASISWA UniMAP BAKAL TERIMA BAUCAR RM100
Oleh: Nurul Aida Othman
PAUH PUTRA, 1 Julai – Seramai 521 mahasiswa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bakal menerima baucar makanan bernilai RM100 seorang sebagai satu inisiatif bagi membantu mahasiswa yang terkesan ekoran pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.
Mereka terpilih adalah dari golongan asnaf dan B40 yang berada dalam kampus sepanjang PKP 3.0.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniMAP, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Rizal Arshad, bantuan berjumlah RM52,100 ini diterima daripada Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) melalui Program Sajian Siswa UniMAP – PKP 3.0.
“Ini secara tidak langsung membuktikan keprihatinan pihak NAFAS terhadap mahasiswa terutamanya golongan asnaf dan B40.
“Semoga pemberian sumbangan ini dapat menyuntik semangat buat mahasiswa UniMAP untuk menjalani kehidupan dan pembelajaran dengan lebih baik,” katanya pada Majlis Sumbangan Bantuan Makanan; Program Sajian Siswa UniMAP – PKP 3.0, semalam.
Turut hadir adalah Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Dr. Anis Mahmud; Timbalan Naib Canselor UniMAP, Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan; Pengurus Besar NAFAS, Tuan Haji Abu Sujak Sahuji; Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Negeri Perlis, Dato’ Tengku Aziz Tengku Jaafar; dan Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Negeri Perlis, Tuan Abu Yazid Abu Bakar.
Tambah Prof. Rizal lagi, beliau percaya program seperti ini dapat menjadi pemangkin bagi menggerakkan penglibatan dan penyertaan masyarakat atau organisasi untuk bersama mengambil berat terhadap situasi semasa yang melanda Negara, lebih-lebih lagi terhadap kumpulan yang terkesan akibat pelaksanaan PKP kali ini.
“Oleh itu, peranan NAFAS dalam pemberian sumbangan ini adalah amat penting bagi membantu menjamin kualiti kehidupan mahasiswa yang merupakan pemimpin masa hadapan.
“UniMAP juga mengalu-alukan sebarang bentuk kerjasama bersama pihak NAFAS terutamanya dalam memperkasakan aspek pertanian dan perladangan melalui inovasi yang dijalankan oleh UniMAP,” katanya.
Untuk rekod, UniMAP telah menyediakan beberapa inisiatif melalui program Insentif Khas Kasih UniMAP yang antara fokusnya adalah membantu mahasiswa yang terkesan akibat COVID-19.