A+ A A-

Naib Canselor UniMAP MAHU HUBUNGAN AKRAB BERSAMA KOMUNITI


Oleh: Nurul Aida Othman

PAUH PUTRA, 13 Ogos - Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Lt Kol Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli mahu keterlibatan dan hubungan akrab antara UniMAP dan komuniti selaras dengan saranan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

“Setiap program atau acara yang dilaksanakan oleh UniMAP perlu diuar-uarkan dan melibatkan masyarakat selaras dengan konsep ‘university for society’ atau universiti untuk komuniti yang diperkenalkan oleh KPT.

Malah promosi UniMAP perlu dilipat gandakan supaya masyarakat mengenali UniMAP dan seterusnya meningkatkan kebolehpasaran graduan serta berpotensi untuk mendapatkan dana-dana yang bersesuaian seperti PENJANA,” katanya ketika sesi Perjumpaan Naib Canselor bersama Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) dan pengurusan dibawahnya.

 

Turut hadir adalah TNC HEPA, Prof. Dr. Mohd. Fo’ad Sakdan; dan Pengarah Pusat Pembangunan dan Perkhidmatan Pelajar, Prof. Madya Ir. Dr. Muzammil Jusoh.

Ujarnya, HEPA adalah jabatan yang berfungsi untuk pembangunan pelajar dan aspek ko-kurikulum perlu diberi fokus supaya graduan yang dihasilkan adalah holistik.

“Kita perlu mewujudkan penunjuk prestasi yang jelas dan menetapkan sasaran realistik yang boleh dicapai.

Selain itu, program bantuan zakat dan bantuan bakul kasih dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) perlu diperkasakan untuk membantu pelajar asnaf yang memerlukan bantuan,” katanya.

Sementara itu dalam Sesi Khas Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bersama Naib Canselor, Prof. Dr. Zaliman menyeru MPP untuk terus menjadi medium penghubung yang berkesan antara pelajar dengan pengurusan universiti dan menggunakan peranan sebagai Ahli Senat Universiti sebaiknya.

“MPP harus melaksanakan program-program yang berimpak tinggi, dimana manfaatnya dapat dinikmati oleh pelajar dan Universiti, termasuk aktiviti kesukarelawanan dan khidmat sosial bersama komuniti setempat.

“Malah perlu kreatif menjalankan aktiviti dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Perkhidmatan (PKP) kerana ia boleh membantu meningkatkan imej UniMAP ke persada antarabangsa,” katanya.

Selain itu, beliau turut menasihatkan pelajar supaya menitik beratkan pencapaian akademik dan diseimbangkan dengan akhlak dan sahsiah yang terpuji.

UniMAP meraikan perbezaan dan kepelbagaian idea tetapi ia perlu disuarakan dengan cara yang adab dan tertib tanpa provokasi.

“Pihak pengurusan bersedia membantu MPP dalam melaksanakan agenda pemerkasaan mahasiswa secara keseluruhan termasuk aspek kebajikan, peningkatan akademik, pembangunan modal insan dan kebolehpasaran graduan,” katanya.