- المجموعة: BERITA - Malay
- كتب بواسطة: Fazemil
YAYASAN UniMAP GERAKKAN INISIATIF SKUAD PRIHATIN BANTU STAF UniMAP
Oleh: Aininulniza Mohd Yusof
PAUH PUTRA, 27 Ogos – Yayasan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) atau YU menggerakkan inisiatif Skuad Prihatin bagi membantu staf sokongan UniMAP yang terjejas susulan penularan wabak COVID-19.
Pengerusi Lembaga Pengarah YU, Datuk Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin berkata matlamat penubuhan YU sejak dari awal bukan bermotifkan keuntungan semata tetapi yayasan itu komited dalam membantu kebajikan staf dan pelajar universiti itu.
Ujarnya, pihaknya menggunakan pelbagai kaedah bagi mendapatkan dana untuk misi membantu universiti tambahan apabila terdapat 30 staf yang terkesan kerana wabak yang melanda global sejak 2020 itu.
“Justeru, pada hari ini pihak yayasan mengadakan gimik pelepasan skuad YU bagi menyerahkan sumbangan Pek Yayasan UniMAP Prihatin kepada mereka yang kini sedang menjalani kuarantin termasuk staf yang sudah berpencen,” kata beliau secara dalam talian dari Putrajaya.
Turut hadir ialah Naib Canselor UniMAP Lt Kol Prof Ts Dr Zaliman Sauli, Timbalan-timbalan Naib Canselor, Pegawai-pegawai utama universiti, Pegawai Eksekutif Kanan YU,Mohd Izwan Izhar Haris dan Timbalan Presiden Persatuan Alumni UniMAP, Prof Madya Dr Khairul Anwar Abdul Halim yang juga sukarelawan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia (FTKK).
Sebanyak tiga buah kenderaan digerakkan bagi menyerahkan sumbangan berupa Kit Covid dan Bakul Makanan dengan fokus ke tiga Parlimen yang terdapat dalam negeri Perlis.
Pelepasan skuad berkenaan dilaksanakan oleh Prof Ts Dr Zaliman di perkarangan Bangunan Canselori, Kampus UniMAP Pauh Putra, di sini.
Sementara itu, Prof Ts Dr Zaliman berkata beliau bagi pihak UniMAP merakamkan jutaan penghargaan kepada YU di atas keprihatinan yang ditunjukkan bagi membantu pelajar dan staf UniMAP.
Ujarnya, UniMAP berasa cukup bertuah kerana YU sentiasa cakna dengan keadaan UniMAP dan sentiasa memberi sokongan kepada universiti itu.
Terdahulu, pada program berasingan Yayasan UniMAP menerusi Datuk Kamarudin dan isteri Datin Noridah Yangman turut menyerahkan kerusi roda elektrik kepada Penolong Pendaftar Kanan UniMAP, Mohd Hakam Mohd Hassan yang menghadapi masalah kesihatan.