- المجموعة: BERITA - Malay
- كتب بواسطة: Fazemil
UniMAP MUNCUL JUARA DEBAT BAHASA TAMIL
Oleh: Nurul Aida Othman
PAUH PUTRA, 6 September - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) muncul juara Pertandingan Debat Bahasa Tamil Ko Sarangapani 2021 Peringkat Kebangsaan yang berlangsung secara hybrid, semalam.
UniMAP yang mewakili kerajaan telah menewaskan Universiti Malaya (UM) pembangkang sekaligus berjaya membawa pulang wang tunai RM2000, piala pusingan, trofi dan sijil.
UM yang menghantar dua pasukan hanya mampu berpuas hati di tempat kedua dan ketiga dengan masing-masing membawa pulang wang tunai RM1500, trofi dan sijil serta RM1000, trofi dan sijil.
Manakala Universiti Malaysia Terengganu (UMT) pula di tempat keempat dan layak menerima RM500, trofi dan sijil.
Menurut Ketua Kerajaan, Shalinei A/P Perumal yang juga pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kimia (FTKK), beliau dan pasukannya sama sekali tidak menyangka dinobatkan pemenang kerana persaingan adalah sengit.
“Kemenangan ini adalah sesuatu yang sangat bermakna dan diluar jangkaan kerana niat asal kami adalah untuk menimba pengalaman tambahan pula hanya seorang sahaja daripada kami yang mempunyai pengalaman dalam pertandingan debat.
“Tetapi saya akui bahawa kami telah mencuba sebaik mungkin dalam setiap pusingan sebelum layak ke peringkat akhir dan seterusnya dinobatkan juara pertandingan ini,” katanya ketika dihubungi.
Tambahnya, beliau dan pasukannya baharu ditubuhkan dan gabungan mereka adalah unik kerana tidak pernah mengenali antara satu sama lain dan hanya berhubung melalui telefon.
“Kami hanya berbincang melalui telefon dan berbahagi tugas bagi penggumpulan bahan untuk tajuk yang diberikan sebelum menggabungkannya menjadi satu teks yang lengkap,” katanya.
Pertandingan debat Tamil ini telah disertai oleh 17 pasukan dari 12 Institusi Pengajian Tinggi (IPT) antaranya Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Institut Pendidikan Guru Kampus Raja Melewar, Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim, UCSI University, AIMST University dan UniMAP sendiri sebagai tuan rumah.
Sementara itu, Naib Canselor UniMAP, Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli dalam ucapan perasmian penutup berkata, UniMAP dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sangat menggalakkan program-program dalam kalangan pelajar selagi ia tidak melanggar peraturan dan Undang-Undang Universiti dan Negara.
“Bergiat aktiflah agar banyak lagi program dapat diadakan di masa hadapan dengan pembabitan pelajar semua kaum yang terdapat dalam negara kita.
“Malah UniMAP amat mengalu-alukan pertandingan debat kerana ia adalah satu platform di mana pelajar dapat berfikir secara kritikal dengan fakta-fakta yang benar untuk mempertahankan usul masing-masing di samping dapat memperkuatkan lagi daya, gaya perbahasan usul yang matang dan bernas,” katanya.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa UniMAP, Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan; Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha; dan Presiden Majlis Kelab Bell Belia Tamil Malaysia (MKBBTM), Gobi Kumaran.
Tambah Prof. Dr. Zaliman, Malaysia sinonim dengan kepelbagaian kaum yang menjadikan negara ini sebuah negara yang unik kerana dapat mempelajari budaya dan bahasa yang berbeza tanpa mengira bangsa
“Mungkin kita boleh menerima penyertaan dari kaum yang lain yang boleh berbahasa Tamil dan ini akan lebih menceriakan program sebegini dan juga dapat mempromosikan keunikan bahasa di negara kita.
“Saya juga berharap supaya penyertaan pendebat bahasa Tamil tidak terhenti di sini tetapi sertailah pertandingan debat dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris supaya dapat mengasah kefasihan dan penguasaan dalam bahasa tersebut,” katanya.
Untuk rekod, Pertandingan Debat Bahasa Tamil Ko Sarangapani mula diadakan pada tahun 2020 oleh Persatuan Kecemerlangan Mahasiswa UniMAP (PKMU) secara dalaman sebelum dikembangkan ke peringkat kebangsaan tahun ini.