A+ A A-

PERKUKUHKAN KEKUATAN MENTAL DAN EMOSI GENERASI MUDA - NG YEN YEN

Oleh: Nurul Aida Othman

PAUH PUTRA, 30 September - Kekuatan mental dan kebijaksanaan emosi perlu diperkukuhkan bagi menghadapi tekanan hidup terutama bagi golongan generasi muda yang merupakan pemimpin masa hadapan, justeru nilai murni dan pemerintahan yang baik mustahak bagi memastikan masyarakat terus maju.

Menurut Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Tuanku Fauziah (YTF), Tan Sri Datuk Seri Prof. Dr. Ng Yen Yen dalam perkongsiannya melalui Webinar Yayasan Tuanku Fauziah sempena 20 Tahun Penubuhan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), cabaran generasi hari ini adalah bagaimana untuk terus mengekalkan kemakmuran, keamanan serta perpaduan rakyat.

“Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum, agama, budaya dan adat resam dan perpaduan merupakan asas yang penting. Oleh itu pemimpin muda perlu peka dalam masalah ini di mana mereka perlu ada fikiran yang cemerlang bagi mengharungi media sosial yang penuh dengan berita palsu,” katanya dalam slot Conversation Between Two Icons : Leadership In A Fast Changing World yang berlangsung secara dalam talian Webex dan Facebook rasmi UniMAP, semalam.

 

Berangkat merasmikan Webinar YTF ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merangkap Pengerusi YTF dan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Penasihat DiRaja Yayasan.

Hadir sama adalah Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof. Datuk Dr. Shamrahayu Ab. Aziz yang juga penyampai slot ketiga iaitu Raja dan Rakyat Berpisah Tiada; dan Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan UniMAP, Datuk Prof. Emeritus Dr. Kamarudin Hussin; serta Naib Canselor UniMAP, Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli yang masing-masing penyampai slot pertama Yayasan Tuanku Fauziah : Permata Perlis.

Tambah Tan Sri Ng Yen Yen, anak muda perlu berfikir, mencari konklusi serta tindakan terbaik dan bukan semata-mata menerima secara terus malah harus meningkatkan kemahiran berkomunikasi dan sikap ingin tahu dalam ilmu.

“Generasi muda terutama golongan wanita harus sedar dan bersedia dengan cabaran baharu dunia termasuk perkembangan Kecerdasan Buatan (A.I.) yang digunakan secara meluas pelbagai sektor antaranya institusi kewangan, saintis, ahli psikologi, pengamal perubatan, jurutera, perkhidmatan keselamatan, dan pelbagai lagi.

“Malah mereka juga perlu peka dengan perubahan iklim dunia selain cabaran global di Malaysia,” katanya.

Sementara itu seorang lagi panel slot tersebut, Yang Dipertua National Council of Women’s Organisation (NCWO), Prof. Emerita Tan Sri Dato’ Seri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin pula berkata, lebih banyak peluang diberikan kepada wanita hari ini untuk mendapatkan pendidikan dan majoriti pelajar universiti adalah dalam kalangan wanita.

““Kini ramai wanita berpendidikan tinggi tetapi peluang pekerjaan, kenaikan pangkat, gaji yang sama dan sebagainya masih lagi terhad.

“Persepsi masyarakat perlu diubah di mana tanggapan bahawa wanita tempatnya hanyalah di rumah perlu dihapuskan dan lebih penting adalah galakkan dan motivasi melalui kaedah ‘mentoring’ perlu terus diberikan agar boleh meningkatkan keyakinan mereka untuk tampil sebagai pemimpin,” katanya.

Tambah beliau, untuk menembusi halangan psikologi ini suami isteri perlu mengamalkan konsep ‘shared responsibilities’.

“Memang benar isteri itu melahirkan anak, namun membesar dan memupuk anak itu adalah tanggungjawab bersama dan suami perlu membantu isteri melaksanakan kerja rumah dan menjaga anak-anak.

“Oleh itu, sedari kecil anak lelaki perlu disuruh melakukan kerja rumah dan menanamkan kepada anak perempuan mereka juga boleh menjadi pemimpin dan mengembangkan bakat dewasa kelak,” katanya.

Ujar Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah, sebagai pemimpin kita perlu tahu bahawa dunia bergerak begitu pantas dan akan berlaku banyak perubahan di masa hadapan termasuklah tren demografi, ekonomi, sosial, impak teknologi dan wabak penyakit dan sebagainya.

“Penggunaan teknologi seperti Artificial intelligence (A.I.) akan mengambil alih banyak tugas manusia sekali gus memberikan kesan positif dan negatif kepada generasi akan datang dan ia perlu disedari oleh semua,” katanya.

Dalam pada itu, Prof. Dr. Zaliman Sauli dalam ucapan aluannya berkata penganjuran Webinar Yayasan Tuanku Fauziah bermatlamat untuk memberi maklumat secara terperinci mengenai Yayasan Tuanku Fauziah di samping meningkatkan kefahaman mengenai peranan, kedudukan dan sumbangan Institusi Raja.

“Webinar ini dibahagikan kepada tiga slot merangkumi YTF; perbincangan dua ikon hebat wanita mengenai kepimpinan dalam dunia dan terakhir mengenai hubungan Raja dan juga rakyat.

“YTF adalah sebuah pertubuhan amal bermotokan ‘Women in Search of Excellence (WISE)’ berfokus untuk memberi pengiktirafan, mempromosikan remaja dan wanita Malaysia yang berpotensi, cemerlang dalam akademik, kokurikulum serta khidmat masyarakat,”katanya.

Tambah beliau, peranan wanita hari ini bukan sahaja tertumpu dalam skop yang kecil tetapi mereka ini telah memberikan pelbagai sumbangan dan impak yang besar dalam institusi kekeluargaan, masyarakat, ekonomi dan politik negara.

“Antara yang menarik perhatian saya adalah penajaan yang dilakukan oleh YTF pada tahun 2016 kepada lima (5) siswazah wanita cemerlang (tiga daripadanya adalah dari UniMAP) untuk mengikuti Program Kepimpinan Wanita di Universiti Antarabangsa Josai (JIU) di Jepun selama setahun.

“Program bermatlamat untuk melahirkan pemimpin muda wanita yang mempunyai jati diri yang unggul melalui pendedahan kepada kebudayaan, persekitaran bandar dan luar bandar serta kehidupan harian masyarakat Jepun selain berpeluang berinteraksi bersama-sama pelajar-pelajar antarabangsa lain yang mengikuti pengajian di JIU.

Malah katanya, pengorbanan siswazah UniMAP iaitu Cassandra Lim Xin Shi yang berhenti kerja untuk menyertai program ini berbalas apabila ditawarkan pekerjaan di Toshiba Tec Singapore Pte Ltd dan kini memegang jawatan Senior Account Manager.

“Beliau mengucapkan terima kasih kepada YTF atas peluang yang diberikan telah mengubah beliau menjadi seorang pekerja yang cemerlang untuk syarikat dan pemimpin atau ketua yang berkaliber dan mampu memimpin staf bawahan beliau dengan baik,” katanya.