- المجموعة: BERITA - Malay
- كتب بواسطة: Fazemil
UniMAP LANCAR HARI SUKAN NEGARA PERINGKAT UniMAP
Oleh: Nurul Aida Othman
PAUH PUTRA, 9 Oktober - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melancarkan Hari Sukan Negara peringkat UniMAP yang berlangsung di sini, semalam.
Naib Canselor UniMAP, Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata, ia diadakan bagi meraikan Hari Sukan Negara yang disambut pada setiap hari Sabtu minggu kedua bulan Oktober setiap tahun.
“Ini adalah langkah kerajaan untuk mentransformasikan Malaysia menjadi negara bersukan di mana wujudnya rakyat yang sentiasa bersukan sehingga menjadi satu budaya hidup.
“Langkah ini diambil bagi mengatasi masalah obesiti dalam kalangan rakyat negara ini, yang menjadi penyebab pelbagai penyakit seperti penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Mingguan Bersama Pengurusan Tertinggi Universiti.
Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UniMAP, Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan; dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UniMAP, Prof. Ts. Dr. Rizalafande Che Ismail.
Tambah Prof. Dr. Zaliman, sejak ia diisytiharkan, seluruh negara, bukan sahaja di sekolah, bahkan di universiti, kolej, di jabatan-jabatan kerajaan, dan sektor swasta akan menyambut Hari Sukan Negara.
“Malah, bagi merealisasikan Hari Sukan Negara, kerajaan bukan sahaja menggalakkan budaya bersukan tetapi menitikberatkan penglibatan bersama dalam aktiviti sukan yang akan merapatkan hubungan rakyat tanpa mengira umur, bangsa dan agama.
“Untuk tahun ini, hari Sabtu minggu kedua Oktober jatuh pada 9 Oktober 2021 tetapi terpaksa diadakan sambutannya sehari lebih awal berikutan UniMAP akan mengadakan Minggu Suai Kenal pelajar baharu ambilan Ijazah sidang akademik 2021/2022 pada hari esok,” katanya.
Ujarnya lagi, UniMAP sangat menyokong apa sahaja perkara yang menjadi hasrat kerajaan termasuklah perkara melibatkan aktiviti bersukan.
“Saya berhasrat untuk menghidupkan kembali aktiviti senamrobik yang telah kita laksanakan sejak dari awal penubuhan UniMAP dulu.
“Saya tahu aktiviti ini sememangnya sebati dalam diri warga UniMAP tapi terhenti akibat pandemik COVID-19. Tambahan pula, dengan pertambahan staf dan kedudukan lokasi yang teragih, hanya aktiviti sebegini yang akan memberi peluang kepada kita untuk mengenali dan merapatkan hubungan antara satu sama lain,” katanya.