A+ A A-

UniMAP BERI PENDEDAHAN SISTEM TENAGA SOLAR PHOTOVOLTAIC

Oleh: Aininulniza Mohd Yusof

PAUH PUTRA, 13 Oktober 2021 – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) komited dalam mengutamakan agenda penyelidikan, inovasi dan pengkomersialan projek-projek penyelidikan yang dapat memberi manfaat kepada komuniti.

Sehubungan itu, UniMAP menerusi Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektrik (FTKE) dan Fakulti Sains Gunaan dan Kemanusiaan (FSGM) UniMAP menganjurkan Program Pemindahan Ilmu Peningkatan Pengetahuan Dalam Sistem Tenaga Solar Photovoltaic Bersama Komuniti bagi 10 Buah Sekolah Rendah Di Negeri Perlis.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UniMAP, Prof Ir. Dr Rizalafande Che Ismail berkata inisiatif Geran Dana Penyelidikan Komuniti (COMPRES) itu memberi pendedahan kepada guru dan pelajar cara pemasangan sistem tenaga solar photovoltaic.

 

Ujarnya, sistem tenaga solar photovoltaic itu adalah sejenis sistem penjana elektrik melalui tenaga boleh baharu.

“Melalui sistem solar pv ini, guru-guru dan pelajar akan dapat membantu menjimatkan tenaga elektrik seterusnya mengurangkan kadar pencemaran karbon dioksida,” katanya ketika berucap di Majlis Penyerahan 10 Set Kit Pengajaran Solar Pv Portable Bagi Geran Compress 9001-00609 di Makmal Teknologi Elektrik FTKE, di sini.

Turut hadir Dekan FTKE Prof Madya Dr Haziah Abd Hamid, Prof Madya Ts. Dr Mohammad Harith Amlus yang menjalankan fungsi Dekan FSGM dan Ketua Projek Khatijahusna Abd Rani serta guru sekolah-sekolah rendah sekitar Perlis.

Tambah beliau, sebanyak 10 buah sekolah rendah menerima sumbangan satu set sistem tenaga solar photovoltaic dengan harapan ia dapat dijadikan batu loncatan dalam menarik minat pelajar meminati bidang sains dan teknologi dengan pendedahan yang diberikan.

Selain penyerahan 10 Set Kit Pengajaran Solar Pv Portable itu, guru-guru dan pelajar turut mengikuti Ceramah Asas Pemasangan Sistem Tenaga Solar Pv itu secara dalam talian.