A+ A A-

UniMAP SAMBUT BAIK FRASA KELUARGA MALAYSIA

Oleh: Nurul Aida Othman

PAUH PUTRA, 9 Oktober - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menyambut baik saranan penggunaan frasa ‘Keluarga Malaysia’ yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 25 Ogos 2021 lalu.

Naib Canselor UniMAP, Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata walaupun berbeza latar belakang, bangsa, agama, usia dan jantina tetapi ada satu perkara yang menghubungkan warga UniMAP iaitu universiti itu sendiri.

“Saya menyeru semua ahli keluarga UniMAP untuk menggunakan frasa yang sama tetapi fokusnya kepada Keluarga UniMAP kerana kita ini ibarat anggota tubuh yang saling melengkapi dan pincanglah pergerakkan andai kita tidak bersatu.



“Oleh itu, marilah bersama-sama mengikat nilai kekeluargaan agar dapat kita menggembleng tenaga untuk memantapkan lagi universiti yang kita cintai ini,” katanya ketika berucap melancarkan Hari Sukan Negara peringkat UniMAP pada Majlis Perjumpaan Mingguan Bersama Pengurusan Tertinggi UniMAP di sini, semalam.

Tambahnya, Perdana Menteri memperkenalkan frasa tersebut untuk mengajak seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan fahaman politik bersama berganding bahu membawa keluar negara ini daripada pandemik COVID-19.

“Beliau yakin keutuhan negara terikat dengan nilai didikan sempurna dalam sesebuah keluarga dan UniMAP menyahut baik saranan tersebut serta berharap agar semua warga UniMAP bersatu hati dalam membantu kerajaan membebaskan negara daripada pandemik ini.

“Laksanakan tanggungjawab kita sebagai rakyat dengan sewajarnya kerana itu juga adalah bentuk sumbangan kita kepada negara yang kita kasihi ini,” katanya.

Bagi mengeratkan lagi hubungan sesama staf, Prof. Dr. Zaliman berhasrat untuk menyemarakkan kembali aktiviti senamrobik yang sebelum ini diadakan pada setiap minggu.

“Saya berhasrat untuk menghidupkan kembali aktiviti senamrobik yang telah kita laksanakan sejak dari awal penubuhan UniMAP dulu.

“Selepas semuanya reda, insyaAllah aktiviti senamrobik ini akan kembali dilaksanakan dan saya mengharapkan komitmen yang tinggi daripada semua staf untuk menghadiri program tersebut,” katanya.