A+ A A-

BANTU GRADUAN KEJURUTERAAN, UniMAP-BEM JALIN KOLABORASI

Oleh: Aininulniza Mohd Yusof

PAUH PUTRA, 26 Oktober 2021 – Sebagai salah satu usaha bagi membantu graduan ijazah memperoleh pendaftaran berkelompok di bawah Akta Pendaftaran Jurutera REA 1967, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Lembaga Jurutera Malaysia (BEM).

Majlis menandatangani MoU berkenaan yang diadakan secara dalam talian turut melibatkan Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Monash Malaysia dan Universiti Nottingham Malaysia.

UniMAP diwakili Naib Canselornya, Prof Ts. Dr. Zaliman Sauli manakala BEM diwakili Presidennya, Dato’ Ir. Haji Mohamad Zulkefly Sulaiman.

Prof. Dr. Zaliman Sauli berkata matlamat MoU berkenaan yang dipersetujui adalah bagi membantu graduan Ijazah kejuruteraan dan teknologi kejuruteraan UniMAP memperoleh pendaftaran berkelompok sebagai graduan kejuruteraan dan Teknologis Kejuruteraan.

 

Ujarnya, antara manfaat yang bakal diperoleh kedua-dua pihak ialah peningkatan kualiti dalam pendidikan dan profesion kejuruteraan terutama untuk pembangunan sosial dan ekonomi di negara ini.

“Selain itu, ia dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan selain dapat mengumpulkan data lengkap mengenai alumni UniMAP yang berdaftar dengan BEM,” katanya ketika berucap di majlis berkenaan secara langsung dari Bangunan Canselori, Kampus Alam UniMAP di sini.

Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni ) UMP, Prof. Dato’ Ts. Dr Yusserie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP, Presiden dan Pro Canselor Monash Universiti Malaysia Prof. Andrew Walker, Ketua Pegawai Eksekutif Universiti of Nottingham Malaysia, Prof. Sarah Metcafe, dan Penolong Naib Canselor Pusat Pengurusan Kualiti dan Strategi UniMAP, Prof. Dr Harshita Aini Haroon.

Sementara itu, Dato’ Ir. Haji Mohamad Zulkefly berkata memorandum persefahaman bersama dua Universiti Awam dan dua Universiti Swasta itu bertujuan untuk merealisasikan hasrat objektif pendaftaran secara berkelompok untuk para graduan.

“Ia adalah salah satu usaha untuk memartabat dan memperkasa profesion Kejuruteraan di Malaysia terutamanya dalam kalangan graduan agar dapat diperkukuhkan dan jumlah jurutera berdaftar kepada penduduk dijangka dapat ditingkatkan nisbahnya kepada 1:100,” katanya.

BEM adalah sebuah badan kerajaan atau badan profesional dengan peranan utamanya untuk memudahkan pendaftaran jurutera dan mengawal selia kelakuan profesional dan amalan jurutera berdaftar bagi melindungi keselamatan dan kepentingan awam di Malaysia.