A+ A A-

UniMAP LANCAR POLISI PENERBITAN PENYELIDIKAN DAN LOGO RiSE

Oleh: Aininulniza Mohd Yusof

Pauh Putra, 8 November – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melancarkan Polisi Penerbitan Penyelidikan dan logo Research Quality, Visibility dan Social Engagement (RiSE) sempena Majlis Penyampaian Sijil Penerimaan Dana Penyelidikan 2021, di sini.

Polisi yang dibangunkan oleh Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) itu membawa matlamat agar staf akademik UniMAP dapat berpegang kepada amanah, tanggungjawab dan integriti dalam penulisan serta penerbitan.

Naib Canselor UniMAP, Prof Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata dunia akademik mengangkat tinggi nama seseorang ahli akademik berdasarkan pencapaiannya dalam penerbitan bahan ilmiah.

 

Ujarnya, bagi memberi sumbangan besar dan berimpak serta mendapatkan pengiktirafan global, seseorang ahli akademik perlu menghasilkan bahan ilmiah yang membawa penemuan baharu, tersendiri dan berkualiti tinggi.

“Justeru, dengan penghasilan polisi ini saya berharap semua staf akademik akan lebih komited sekaligus dapat menghasilkan penerbitan bahan ilmiah yang menepati sasaran,” katanya ketika berucap di Majlis Penyampaian Sijil Penerimaan Dana Penyelidikan 2021 secara dalam talian, di sini.

Selain melancarkan polisi berkenaan, bagi memberi penekananan kepada teras utama aktiviti penyelidikan dan inovasi untuk kecemerlangan di peringkat global, beliau turut melancarkan logo RiSE yang bakal digunakan oleh Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi).

Turut hadir ke majlis itu ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Prof. Ir. Dr Rizalafande Che Ismail dan Pengarah RMC, Prof Madya Dr. Naimah Ibrahim.

Terdahulu, seramai 183 penerima termasuk 81 penerima geran dalaman dengan jumlah keseluruhan yang dijanjikan (pledged amount) kira-kira RM 1.328 juta termasuk geran Pascadoktoral, geran Graduate Research Assistant (GRA), geran FSGM (Tabung Kolej Regent), geran UniPRIMA – dana dalaman, geran khas sepadan ITS dan lain-lain lagi.

Selain itu, 30 penyelidik UniMAP turut memperolehi dana penyelidikan daripada pihak industri dan agensi luar melalui geran UniMAP-Private Matching Fund (UniPRIMA) dengan keseluruhan jumlah geran industri sebanyak kira-kira RM847,000 yang dipadankan dengan dana sepadan UniMAP berjumlah RM590,000 serta geran industri lain termasuklah dari Malaysian Technical Standards Forum Bhd (MTSFB), Kulim Technology Park Corporation (KTPC) dan lain-lain.

UniMAP juga berjaya menerima dana penyelidikan menerusi 40 projek Fundamental Research Grant Scheme (FRGS) dengan jumlah keseluruhan RM4.426 juta serta dana-dana khas Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan agensi kerajaan termasuk Geran MyLab, Geran Lembaga Penyelidikan & Kemajuan Perusahaan Timah, NanoMalaysia Berhad, Geran Technology Development Fund (TED2) daripada Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI) serta Geran Penjana KPT bagi tahun 2021.