- المجموعة: BERITA - Malay
- كتب بواسطة: Fazemil
MAJLIS PENGHARGAAN PESARA 2021 RAI 20 PESARA UniMAP
Oleh: Aininulniza Mohd Yusof
PAUH PUTRA, 28 Oktober – Pengalaman dan peristiwa tidak dapat dibeli atau disamakan dengan mana-mana individu yang lain malah hanya boleh diceritakan atau dikongsikan untuk tatapan generasi yang akan datang.
Demikian juga pengalaman yang diperoleh kakitangan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) yang sama-sama membangunkan universiti itu sejak awal penubuhannya lagi 20 tahun lalu.
Justeru, seramai 20 pesara UniMAP diraikan di Majlis Penghargaan Pesara 2021, Jasamu Dikenang yang diadakan di lobi Dewan Senat, Bangunan Canselori, Kampus Alam UniMAP, di sini, hari ini.
Naib Canselor UniMAP, Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata sebahagian pesara yang diraikan pada petang itu adalah antara perintis penubuhan UniMAP malah berkat hasil usaha gigih dan segala pengorbanan besar telah diberikan oleh mereka.
“Sumbangan mereka telah berjaya meletakkan nama universiti di persada negara mahupun antarabangsa, namun telah menjadi lumrah kehidupan bahawa setiap pertemuan pasti ada perpisahan.
“Bermula daripada sebuah pejabat kecil di Kubang Gajah, kemudian berpindah ke Bangunan KWSP, dan seterusnya ke seluruh pelosok negeri Perlis serta akhirnya di Pauh Putra, mereka yang diraikan pada hari ini pastinya telah melihat dan merasai transformasi UniMAP daripada sebuah Kolej Universiti berubah kepada sebuah Universiti Awam yang disegani,” kata beliau ketika mengimbau kenangan awal penubuhan UniMAP.
Turut hadir Pegawai-pegawai Utama Universiti.
Beliau turut mengambil kesempatan merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Datin Rohela Binti Ariffin, Prof. Dr. Uda Bin Hashim, Puan Saodah Binti Hassan, Dr. Rosni Binti Bakar, Encik Abdul Rani Bin Hamzah, Encik Abu Bakar Bin Noor. Encik Baharuddin Bin Keria, Puan Rusnani Binti Omar, Encik Ghazali Bin Sha’ari, Datin Dr. Zuraidah Binti Mohd Zain, Encik Nor Azmi Bin Hj. Johari, Encik Che Ahmad Bin Che Man, Encik Abdul Halim Bin Hassan,Encik Syed Azmi Bin Syed Ahmad, Encik Mohd. Azamin Bin Ahmad Adli, Ir. Dr. Rezuwan Hj. Kamaruddin, Prof. Madya Ku Halim Bin Haji Ku Ariffin, Encik Kifli Bin Che Choh, Puan Tengku Suriani Binti Tengku Yaakub dan Puan Norina Bt Idris.