A+ A A-

KERJASAMA UniMAP DAN IPGKDA TINGKATKAN KUALITI P&P

Oleh : Aininulniza Mohd Yusof

PAUH PUTRA, 13 Januari 2022 – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan Institut Pendidikan Guru Kampus Darulaman (IPGKDA) bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran (P&P) di kedua-dua institusi.

Dokumen perjanjian ditandatangani oleh Naib Canselor UniMAP, Prof Ts. Dr. Zaliman Sauli manakala IPGKDA diwakili Pengarahnya, Kol. Kehormat (PA) Hashim Asman disaksikan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UniMAP, Prof Ts. Dr Rizalafande Che Ismail dan Timbalan Pengarah IPGKDA, Dr Amani Abdullah Mubarak.

Prof. Zaliman berkata kerjasama berkenaan adalah bagi membangunkan ‘Lightboard Studio’ bagi membantu meningkatkan kualiti P&P dalam kalangan pensyarah dan bakal guru di IPGKDA khususnya.

 

“Lightboard yang dibangunkan oleh ketua penyelidik Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal (FTKM) , Dr Azuwir Mohd Nor bersama Dr Mohamad Ezral Baharudin, Dr Mohd Zakimi Zakaria dan Dr Mohd Sazli Saad itu dapat mendedahkan dan mempersiapkan bakal-bakal guru menggunakan alat bantuan pengajaran teknologi terkini.

“Hasil dari kerjasama ini, input-input yang diperolehi dari penggunaan produk berkenaan di IPGKDA dapat digunakan untuk menaiktaraf produk semasa kepada yang lebih baik,” kata beliau dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Turut hadir Dekan FTKM Prof Madya Dr Mohd Shukry Abdul Majid.

Tambah Prof Zaliman, kerjasama itu dapat memberi impak yang baik kepada UniMAP kerana produk berkenaan akan digunakan oleh warga IPGKDA sekaligus dapat memberi promosi yang berkesan kepada universiti itu.

“Ia bertepatan dengan hasrat universiti yang mahu berkongsi hasil pembangunan produk yang mampu memberi manfaat kepada komuniti setempat menerusi UniMAP4Society.

Secara tidak langsung juga, kedua-dua pihak dapat menjalankan penyelidikan bersama dalam menilai keberkesanan penggunaan teknologi baharu Lightboard Studio terhadap prestasi pelajar dalam pembelajaran,” kata beliau.

Selain penyelidik UniMAP, penyelidik IPGKDA diketuai Ahmad Raji Harun bersama Dr Muhammad Fariduddin Wajdi Anthony, Mohd Sahafudin Zakaria dan Dr Rusmawati Othman.