A+ A A-

AHMAD AKIF SYAKIRIN KETUAI MAJLIS PERWAKILAN PELAJAR UniMAP 2021/2022

Oleh: Nurul Aida Othman

KANGAR, 25 Januari - Ahmad Akif Syakirin Mohd Adnan terpilih mengetuai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sebagai Yang Dipertua (YDP) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sesi 2021/2022.

Lantikan dibuat selepas beliau bersama enam lagi pelajar diumumkan pemenang apabila meraih jumlah undi tertinggi pada Pilihanraya Kampus (PRK) UniMAP 12 Januari lalu.

Akif Syakirin berkata, terpilih sebagai YDP MPP bukan satu kebanggaan sebaliknya tanggungjawab berat yang perlu digalas demi kebaikan semua.

 

“Saya bersyukur dan gembira apabila diumumkan meraih undian antara tertinggi pada Pilihan Raya Kampus (PRK) sesi kali ini dan terima kasih kepada semua pihak terutamanya rakan-rakan yang mengundi saya pada Pilihan Raya Kampus (PRK) sesi kali ini.

“Tidak ketinggalan ucapan penghargaan kepada rakan seperjuangan saya dalam MPP 2021/2022 dan barisan staf UniMAP terutama Naib Canselor dan pengurusan tertinggi universiti kerana memberikan kepercayaan kepada saya menjadi ketua MPP yang merupakan badan mewakili suara mahasiswa UniMAP,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan MPP Sesi 2021/2022, malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata lantikan kali ini bakal menghadapi cabarannya yang tersendiri tambahan pula dengan zaman pandemik COVID-19 yang memerlukan MPP bergerak lebih pantas dan mempunyai intelektual yang tinggi bagi menyelesaikan isu-isu berbangkit dan perkara-perkara yang tergendala disebabkan pandemik.

“Kami menyasarkan bentuk pembaharuan dan pelan tindakan yang berteras tiga prinsip iaitu keunggulan sahsiah; keprihatinan kebajikan mahasiswa; dan kebersamaan dalam menerajui mahasiswa.

“Melalui sasaran ini saya yakin dapat membina dan membantu mencapai kedudukan mahasiswa yg harmoni, intelek dan terjaga kebajikannya,” katanya.

Selain itu, Akif Syakirin mengharapkan kerjasama antara rakan MPP lain untuk bersama-sama menerajui kepimpinan supaya dapat berjuang demi kebajikan mahasiswa.

“Saya juga mengambil tanggungjawab untuk memastikan hubungan dan kerjasama yang baik antara pelajar, MPP, dan pihak pengurusan bagi meningkatkan nama dan prestasi UniMAP supaya setanding universiti senior lain.

“Malah lantikan ini menjadi medan kepada kami untuk memastikan kualiti terbaik dalam pembentukan belia supaya menjadi graduan yang mampu mengambil alih tampuk pemerintahan negara satu hari nanti,” katanya.

Pada majlis pelantikan berkenaan juga menyaksikan seramai 27 pelajar dari pelbagai fakulti dilantik sebagai ahli jawatankuasa selepas dipilih melalui kaedah pengundian dalam talian (e-voting) sepenuhnya bagi menggantikan kaedah pengundian konvensional.

Untuk rekod pada tahun ini seramai 6,715 pelajar atau 51.42 peratus dari 13,059 pengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing bagi tujuh kerusi Konstituensi Umum dan 17 kerusi bagi Konstituensi Fakulti serta tiga kerusi di bawah Konstituensi Khas.