A+ A A-

27 PELAJAR ANGKAT SUMPAH MPP UniMAP 2021/2022

Oleh: Nurul Aida Othman

KANGAR, 25 Januari - Seramai 27 pelajar mengangkat sumpah Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) sesi 2021/2022 di sini, semalam.

Naib Canselor, Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata mereka dilantik selepas memenangi Pilihanraya Kampus (PRK) UniMAP yang berlangsung 12 Januari lalu.

“Penyerahan watikah pelantikan adalah simbolik kepercayaan pihak pengurusan universiti dan mandat pelajar terhadap MPP baharu selaras dengan Seksyen 57 Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.

 

“Kepercayaan dan mandat yang diberikan ini amat besar ertinya dan perlu digalas dengan penuh keikhlasan dan kejujuran kerana ia adalah pengiktirafan terhadap kepimpinan pelajar,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2021/2022.

Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni menjalankan fungsi Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan; dan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Ts. Dr. Rizalafande Che Ismail.

Dalam pada itu beliau turut menitipkan beberapa pesanan kepada pelajar untuk sentiasa berusaha memartabatkan dan memastikan prestasi akademik mahasiswa semakin meningkat dari semasa ke semasa.

“Gandakan pelbagai inisiatif untuk melestarikan pembangunan mahasiswa. Tunjukkanlah nilai-nilai kemanusiaan dan intelektual yang tinggi untuk menyumbang kepada pembangunan universiti dan negara.

“Tumpukan perhatian kepada hal ehwal kebajikan mahasiswa dan sebagai pencetus motivasi kepada mereka sesuai dengan hasrat KPT iaitu dalam “Menyemarak Semangat #KPTPrihatin,” katanya.

Malah beliau turut menyeru pelajar untuk membawa suara dan imej UniMAP ke persada antarabangsa melalui pencapaian akademik yang baik, seimbang dengan akhlak dan sahsiah yang terpuji.

“Letakkan nilai integriti sebaris dengan nilai rasional supaya apa jua tindakan diambil atas prinsip kebebasan masih dibawah nilai-nilai kesopanan, kesusilaan dan norma-norma kebudayaan masyarakat kita.

“Jadilah penggerak dan ikon kepada semua mahasiswa khususnya dari segi pembangunan sahsiah dan kemahiran insaniah,” katanya.

Beliau juga meminta pelajar untuk meraikan perbezaan dan kepelbagaian idea.

“Mahasiswa perlu dibangunkan potensinya, bukan dibakar semangatnya untuk menentang apa sahaja yang berkaitan dengan dasar universiti dan kerajaan serta berbekalkan idealisme yang tinggi dan semangat prihatin, para pelajar boleh menyuarakan pandangan dan menuntut ketelusan, tetapi dengan adab dan tertib,” katanya.

Untuk rekod pada tahun ini seramai 6,715 pelajar atau 51.42 peratus dari 13,059 pengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing bagi tujuh kerusi Konstituensi Umum dan 17 kerusi bagi Konstituensi Fakulti serta tiga kerusi di bawah Konstituensi Khas.