- المجموعة: BERITA - Malay
- كتب بواسطة: Aininulniza
TVET : UniMAP KOLABORASI DENGAN NIHON SUPERIOR
Oleh : Prof Dr Mohd Mustafa Al-Bakri Abdullah & Aininulniza Mohd Yusof
Kangar, 28 Februari - Dalam memastikan agenda Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) berjaya dilaksanakan, Universiti khususnya disaran bagi menjalin kolaborasi dengan pihak industri.
Atas dasar itu, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) hari ini telah menandatangani memorandum perjanjian bersama salah sebuah syarikat pengeluar bahan pateri terbesar Jepun, Nihon Superior Co Ltd bagi meneroka projek penyelidikan dan pembangunan bahan penyambungan elektronik baharu.
UniMAP menerusi anak syarikat Tehnopreneur UniMAP Sdn Bhd (TUSB) diwakili Pengerusi Lembaga Pengarahnya Shahruddin Othman manakala Nihon Superior diwakili Yuji Kozutsumi yang juga Pengarah Urusan syarikat terkenal itu.
Turut hadir Pengarah TUSB, Dr Mujahir Ab Rahim, Pengurus R&D Nihon Pavithiran Narayanan dan Naib Canselor UniMAP, Prof Ts Dr Zaliman Sauli.
Berpangkalan di Osaka, Jepun, Nihon Superior yang juga mempunyai kilang pembuatan di Jelapang, Ipoh telah bersetuju untuk meneroka projek pembuatan bahan penyambungan elektronik bersifat pengalir lampau bagi aplikasi peralatan perubatan dan komunikasi bersama kumpulan penyelidik UniMAP yang diketuai Prof Madya Ir Dr Mohd Arif Anuar Mohd Salleh.
Antara ahli kumpulan penyelidik lain termasuk Prof Dr Kazuhiro Nogita, Prof Dr Mohd Mustafa Al Bakri, Prof Dr Zaliman Sauli, Dr Flora Somidin, Dr Rita Mohd Said, Dr Norainiza Saud dan Dr Dewi Suriyani Che Halin.
Bagi projek penyelidikan ini, Nihon Superior setuju bagi menyalurkan dana geran penyelidikan berjumlah RM313,000 serta penajaan pengajian bagi seorang pelajar bagi mengikuti program pengajian kedoktoran di UniMAP.
Selain untuk aktiviti penerokaan penyelidikan bahan penyambungan elektronik yang baharu, ia juga termasuk bagi menampung kos kumpulan penyelidik bagi menjalankan aktiviti perincian bahan menggunakan beberapa peralatan termaju di Jepun.
Menurut Naib Canselor UniMAP, Prof Dr Zaliman jalinan kolaborasi di antara Nihon Superior dan UniMAP ini telah terjalin bermula sejak 2012 dimana dana penyelidikan bernilai hampir RM2juta telah disalurkan serta sembilan pelajar sarjana dan kedoktoran telah ditaja sehingga kini.
Katanya, kolaborasi penyelidikan sejak 2012 ini telah berjaya membantu Nihon Superior dalam pembangunan bahan pateri yang baru serta penambahbaikan proses pembuatan bahan pateri sedia ada.
“Jalinan kolaborasi kukuh dengan syarikat antarabangsa seperti ini menunjukkan bahawa UniMAP sentiasa komited dalam memberi sumbangan kepakaran kepada industri-industri di Malaysia dan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Tambah beliau, dengan cara ini membuktikan UniMAP membuka peluang seluas-luasnya kepada pelbagai pihak seperti industri bagi pemindahan kepakaran dan teknologi yang akhirnya dapat memenuhi tuntutan serta keperluan semasa negara.
“Kerjasama ini secara tidak langsung membuktikan komitmen universiti dalam menjayakan Program Tanggungjawab Sosial Universiti (USR) dan pemindahan ilmu berimpak tinggi dengan memperkasakan UniMAP4Society," kata beliau.