A+ A A-

OKU DAPAT IJAZAH KEJURUTERAAN MEKANIKAL UniMAP

Sumber : Kosmo Online

ARAU, 6 Mac – Ketabahan seorang pemuda meneruskan pengajian walaupun terpaksa berkerusi roda kerana menghidap multiple sclerosis (MS) membuahkan hasil apabila berjaya mendapat ijazah dalam bidang kejuruteraan mekanikal di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di sini kelmarin.

Muhammad Afiq Azman, 28, berkata, dia menghidap MS sejak dua tahun lalu yang menyerang selaput saraf tunjung hingga mengakibatkan bahagian badan dari pinggang ke bawah tidak dapat menerima arahan otak.

 

Katanya, dia diserang MS ketika berada di semester empat pada tahun 2017 apabila tidak dapat bergerak ketika bangun tidur.
“Saya terpaksa tangguhkan pengajian selama satu semester sebelum kembali dalam keadaan bertongkat, namun keadaan bertambah buruk hingga terpaksa berkerusi roda.

“Kini saya bergantung kepada ubat-ubatan bagi mengelakkan penyakit bertambah kronik. Bagaimanapun, saya bersyukur apabila berjaya menamatkan pengajian dan menerima segulung ijazah,” katanya ketika ditemui pada Istiadat Konvokesyen Ke-15 UniMAP di sini.

Anak sulung daripada empat beradik itu berkata, penyakit itu memberi kesan emosi dan dia pernah terlintas untuk menamatkan pengajian.
Tambahnya, ramai individu menasihatkannya supaya tidak mengalah.

“Sepanjang tempoh itu, dorongan ibu bapa, sokongan rakan-rakan dan keprihatinan pengurusan UniMAP menyediakan bilik di tingkat bawah kolej kediaman banyak membantu saya,” katanya yang kini bertugas sebagai pegawai penyelidik di Pusat Penyelidikan Klinikal Hospital Seberang Jaya di Pulau Pinang.

Menurut Muhammad Afiq, sebagai pelajar yang pernah hidup normal, dia merasai sendiri betapa sukarnya golongan orang kelainan upaya (OKU) bergelut untuk mencapai kejayaan di menara gading.

“Saya juga berharap kerajaan khususnya Kementerian Pengajian Tinggi menyediakan lebih banyak infrastruktur untuk OKU di universiti bagi membantu mereka belajar dengan baik,” katanya.
Nasib Muhammad Afiq mendapat perhatian Naib Canselor UniMAP, Prof. Ts. Dr. Zaliman Zauli apabila kisah hidupnya dibaca di hadapan ratusan graduan serta ibu bapa yang menonton istiadat berkenaan secara langsung di kafetaria universiti.

Ketabahan anak jati Pulau Pinang menamatkan pengajian dalam keupayaan terhad itu turut mendapat perhatian Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lai­latul Shahreen Akashah Khalil merangkap Pro Canselor UniMAP yang berkenan meluangkan masa bertanya khabar pemuda itu sejurus tamat sidang keempat istiadat konvokesyen tersebut.

Tagged under: UniMAP, KOSMO,