- المجموعة: BERITA - Malay
- كتب بواسطة: Fazemil
UniMAP PRIHATIN BANTU STAF COVID-19
Oleh: Nurul Aida Othman
PAUH PUTRA, 22 Mac - Sejak penularan wabak COVID-19 pada awal tahun 2020, dunia mengalami perubahan drastik yang membawa kesan langsung kepada corak kehidupan manusia.
Di samping jumlah kematian yang tinggi, jumlah masyarakat yang kehilangan pelbagai sumber bagi meneruskan kelangsungan hidup juga turut menunjukkan trend peningkatan yang drastik.
Atas rasa tanggungjawab yang tinggi terhadap warganya, UniMAP tampil melancarkan Tabung Bantuan Bencana UniMAP untuk mewujudkan dana kewangan bagi membantu staf dan pelajar yang terkesan bukan sahaja akibat penularan wabak COVID-19 malah lain-lain bencana seperti banjir, kemarau dan kebakaran.
Naib Canselor, Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata, bagi mengelakkan penularan wabak penyakit ini, staf dan serta ahli keluarga terpaksa menjalani kuarantin sama ada di Pusat Kuarantin atau di rumah sendiri jika tidak menerima rawatan di hospital.
“Hal ini telah menyebabkan staf yang terlibat mengalami kesukaran mendapatkan bekalan makanan semasa di dalam tempoh kuarantin tersebut.
“Atas keprihatinan bagi meringankan bebanan staf terlibat, pihak UniMAP telah meluluskan sumbangan barangan makanan bernilai RM200.00 kepada setiap staf yang telah disahkan positif COVID-19,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Tambah beliau, sejak Januari 2021 sehingga 10 Februari 2022, Jabatan Pendaftar UniMAP telah menerima laporan daripada COSHE berhubung jangkitan COVID-19 kepada seramai 94 orang staf.
“Semua staf ini telah menerima sumbangan barangan makanan yang diuruskan oleh Jabatan Pendaftar dan UniMAP berharap pemberian ini sedikit sebanyak meringankan beban staf yang terlibat,” katanya.