- المجموعة: BERITA - Malay
- كتب بواسطة: Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Naib Canselor UniMAP Terima Kejutan Hari Lahir di Acheh
Banda Acheh, 15 Februari – Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Brig.Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin menerima kejutan hari lahir daripada warga Universitas Ubudiyah Indonesia (UUI) sebaik sahaja selesai membentangkan Pelan Strategik dan Hala Tuju UniMAP 2016-2020 di Dewan Plenarri UUI di sini.
Kejutan tersebut dimulakan dengan tayangan multimedia khas yang memaparkan ucapan selamat dan penghargaan dari warga UUI kepada Datuk Kamarudin termasuk ucapan khas dari Rektor UUI, Marniati M. Kes serta Ketua Yayasan Ubudiyah Indonesia, Dedi Zefrizal ST.
Sebaik sahaja tayangan multimedia itu selesai, para pensyarah dan warga kerja UUI menolak masuk kek sambil diiringi lagu Selamat Ulang Tahun dan Allah Panjangkan Usia diikuti sesi memotong dan menyuap kek.
Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail turut bercemar duli berangkat hadir ke Majlis tersebut. Turut hadir, isteri Naib Canselor UniMAP yang juga Pengerusi Piskanita UniMAP, Datin Noridah Yangman, Pengerusi Eksekutif Proven Holdings Group Sdn. Bhd, Datuk Yusof Jusoh serta Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang Amat Berhormat Menteri Pendidikan Malaysia, Mohd. Nizar Haji Sudin.
Menurut Marniati, selain kejutan hari lahir, ia juga merupakan sebahagian daripada penghargaan UUI terhadap Datuk Kamarudin yang diibaratkan seperti ayah yang banyak membantu beliau dan UUI untuk menjadi antara universiti terbaik di persada antarabangsa.
“Saya terlalu mengkagumi ketokohan beliau dan komitmen beliau dalam membantu kami di UUI selama ini. Beliau merupakan idola kami di UUI dan banyak memberikan tunjuk ajar bagaimana membangunkan dan meningkatkan keterlihatan universiti di persada antarabangsa.
“Selain berkongsi mengenai akademik dan penyelidikan, beliau juga sering membuka peluang hubungan antarabangsa kepada kami melalui pelbagai platform antaranya Asian Universiti President’s Forum (AUPF) dan Asian Summer Program (ASP),” ujarnya.
Marniati juga turut menyambut baik perlantikan semula Datuk Kamarudin sebagai Naib Canselor UniMAP selepas bersara wajib pada 10 Februari lalu.