- المجموعة: BERITA - Malay
- كتب بواسطة: Fazemil
UniMAP MEMETERAI SURAT NIAT BERSAMA NUUZ, UZBEKISTAN
Oleh: Nurul Aida Othman
PAUH PUTRA, 27 September - Bagi memantapkan hubungan kerjasama antarabangsa, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) melebarkan sayapnya ke Uzbekistan apabila menandatangani Surat Niat (LoI) dengan National University of Uzbekistan (NUUZ) di universiti berkenaan baru-baru ini.
UniMAP diwakili Prof Ir Dr Anuar Mat Safar manakala NUUZ diwakili Vice-Rector, Prof. Raima Kh. Shirinova.
Turut hadir Dr Salina Mohd Asi, Dr Hasneeza Liza Zakaria dan Dr Fatanah Deraman yang masing-masing mewakili Advance Computing COE, Fakulti Kejuruteraan &
Teknologi Elektronik (FKTEN) dan Institut Matematik Kejuruteraan (IMK), UniMAP.
Menurut Prof. Dr. Anuar, LoI ini bagi mewujudkan aktiviti secara rasmi dalam pertukaran kepakaran, ilmu dan sumber yang akan dirancang dan dipersetujui secara bersama oleh kedua-dua universiti itu nanti.
“Antara aktiviti yang bakal dilakukan adalah seperti syarahan pensyarah atau penyelidik jemputan, mobiliti pelajar dan staf, penyeliaan bersama pelajar Sarjana atau Doktor Falsafah dan lain-lain aktiviti penyelidikan dan pengajaran.
“Aktiviti penyelidikan yang melibatkan komitmen di antara kedua belah pihak seperti persidangan antarabangsa boleh dilakukan supaya lebih menyemarakkan lagi penyelidikan selain dari melahirkan pensyarah dan pelajar yang berdaya maju dalam industri 4.0,” katanya ketika dihubungi.
Ujarnya, pendedahan ini penting supaya pensyarah dan pelajar menjadi peneraju dalam penyelidikan dan pendidikan lebih berkualiti yang sekaligus bukan sahaja memberi manfaat bahkan menjadi tempat rujukan utama masyarakat.
“Saya yakin gabungan pakar dalam bidang matematik dan komputer kejuruteraan bagi kedua-dua negara ini dapat memberi impak besar kepada UniMAP khususnya untuk melebarkan jaringan kerjasama antarabangsa dan menaikkan Ranking
Universiti dalam QS dan THE.
“Malah selepas LoI ini kita akan menandatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) bagi memastikan kerjasama yang lebih erat boleh dilakukan,” katanya.
Tambah Prof. Dr. Anuar lagi, UniMAP juga turut mengadakan perbincangan bagi kerjasama dengan Bukhara State University (BSU) yang berminat mengadakan MoU dengan UniMAP dalam bidang Kejuruteraan Komputer merangkumi bidang Kepintaran Buatan (Artificial Intelligence), Data Analitik dan Pemprosesan Imej.
Terdahulu, pada 16 dan 17 September 2022, delegasi UniMAP turut menghadiri persidangan “Computational Models and Technologies (CMT 2022)” dimana sebanyak lima kertas kerja penyelidikan dari UniMAP telah dihantar untuk pembentangan dalam persidangan tersebut.
Antara tajuk yang dibentangkan berkaitan bidang matematik, sains komputer dan kejuruteraan manakala kertas kerja penyelidikan penuh bakal diterbitkan dalam jurnal berindeks Scopus.