- المجموعة: BERITA - Malay
- كتب بواسطة: Syed Abu Bakar Syed Ahmad
MPKK UniMAP Anjur Program Silang Budaya Ilmu Lakar Sejarah Tersendiri
Kota Kinabalu, 10 Februari - Majlis Penghuni Kolej Kediaman (MPKK) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah melakar sejarah tersendiri apabila berjaya menganjurkan Program Usahasama bersama Jawatankuasa Mahasiswa Kolej Anugerah Bestari (JAKMAS AB) Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui penganjuran Program Silang Budaya Ilmu di sini.
Program berteraskan kepada pengukuhan peranan pemimpin kolej kediaman, khidmat komuniti dan patriotisme yang berlangsung dari 6 hingga 10 Februari itu melibatkan penyertaan seramai 20 Ahli MPKK kolej Tan Sri Aishah Ghani (MPKKTAG) UniMAP, 15 Ahli JAKMAS UMS bersama 5 orang staf UniMAP.
Menurut Pengarah Program, Mohamad Rafi’uddin Mohaygen yang juga merupakan Yang Dipertua MPKKTAG, program ini mendapat kerjasama sepenuhnya pihak Kolej Kediaman AB UMS dimana ia turut merangkumi aktiviti lawatan kampus, perkongsian pintar, persembahan kebudayaan, sukan persahabatan, program motivasi dan khidmat komuniti.
“Semua Ahli MPKKTAG yang mengikuti program ini telah berusaha membuat persediaan sejak dari semester lepas lagi dalam segenap aspek termasuk berhubung sendiri dengan pihak JAKMAS di UMS. Program ini juga turut mendapat kerjasama dari pihak Biro Tatanegara Negeri Perlis dan Sabah,”katanya.
Pengetua Kolej Kediaman Tan Sri Aishah Ghani, YM Raja Shah Erman Raja Arifin yang turut menyertai program tersebut melahirkan rasa amat berpuashati dengan perancangan, persediaan dan pelaksanaan yang dilakukan sendiri oleh kepimpinan pelajar KKTAG termasuk mengorbankan cuti semester untuk mencari tajaan bagi menampung sebahagian dari kos program ini.
“Program ini diuruskan sendiri oleh MPKKTAG termasuk berhubung terus dengan JAKMAS UMS dalam mengatur aktiviti bersama. Ini membuktikan mereka berjaya mewujudkan komunikasi yang berkesan walaupun jauh secara geografinya.”katanya
Dalam sesi interaksi yang dijalankan antara MPKKTAG dan JAKMAS AB, Saudara Mohd Aimran Mohd Yunus yang merupakan Yang DiPertuanya memuji inisiatif yang telah diambil oleh MPKKTAG apabila berjaya membawa kepimpinan kolej ke Sabah untuk bersama-sama berkongsi peranan JAKMAS termasuk aktiviti yang dijalankan secara berterusan dalam melahikran penghuni kolej yang proaktif.
“Kehadiran MPKKTAG ke UMS juga telah membuka lembaran baru kepada kepimpinan kami di kolej apabila banyak aktiviti berimpak yang telah dilaksanakan oleh UniMAP akan dijadikan penandaaras kepada pihak JAKMAS.
Gabungan pemimpin mahasiswa dalam melaksanakan program motivasi di sekolah sememangnya pendekatan terbaik dalam berkongsi kepakaran sebagai fasilitator,”katanya yang ditemui semasa Program Motivasi di SMK Ranau pada hari ketiga program berlangsung.
Selain itu, Kg. Singgarun Baru di daerah Ranau turut menjadi destinasi MPKKTAG bagi melaksanakan aktiviti khidmat komuniti seperti menanam pokok, merewang dan keluarga angkat.
Bagi melahirkan pemimpin mahasiswa yang berpengetahuan aras tinggi dan peka kepada isu-isu semasa, satu ceramah berkaitan Keselamatan Perairan Sabah turut diselitkan di dalam program ini. Program Silang Budaya Ilmu turut dihadiri Pengetua Kolej AB UMS, Pengetua Kolej Kediaman Zon Kuala Perlis UniMAP dan Penolong Pengetua KKTAG.