- المجموعة: BERITA - Malay
- كتب بواسطة: Syed Abu Bakar Syed Ahmad
MPKK UniMAP Tingkat Kesedaran Penunggang Motosikal
ARAU, 14 Mei - Kadar kemalangan maut yang melibatkan remaja terutama pelajar Universiti Awam ternyata berada di tahap yang amat membimbangkan.
Atas kesedaran itu, Majlis Perwakilan Kolej Kediaman (MPKK) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya Perlis (JKJR) dengan kerjasama UA Motor Kangar telah menganjurkan Program Keselamatan Jalan Raya dan Penyelenggaraan Motorsikal “Jom Balik Kampung”.
Naib Canselor UniMAP, Briged.Jen. Datuk Prof. Dr. Kamarudin Hussin berkata, program itu bertujuan bagi memberi pendedahan kepada para pelajar dalam mengendalikan penyelenggaraan motosikal secara sistematik dan efisien supaya selamat digunakan semasa berada di jalan raya.
“Seperti yang kita sedia maklum, penunggang motosikal merupakan antara yang paling berisiko terlibat dalam kemalangan maut.
“Oleh itu, mereka haruslah menitikberatkan ciri-ciri keselamatan seperti pemakaian topi keledar dan jaket keselamatan yang lengkap dengan pemantul cahaya bagi mengurangkan risiko berlakunya kemalangan atau kecederaan,”katanya dalam ucapan yang dibacakan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal pelajar dan Alumni UniMAP, Prof. Madya Dr. Mohd Fo’ad Sakdan.
Turut hadir, Pengarah JKJR, Kalai Kumar Periyasamy,Penurus UA Motor Kangar, Lim Tiang Chuan dan Pengetua Kolej Kediaman UniMAP, Dr. Wong Yee Shian, Hirwan Jasbir Jaafar dan Syed Akhmal Syed Jamalil.
Ujar Datuk Kamarudin lagi, program kesedaran tersebut adalah amat digalakkan d diadakan di peringkat universiti kerana menurut Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), motosikal dan kereta masing-masing mencatatkan lebih 60 peratus dan 20 peratus kematian di jalan raya dengan kadar kemalangan maut paling tinggi melibatkan orang muda yang berumur di antara 16 hingga 25 tahun pada tahun lalu.
“Saya berharap dengan adanya program ini, anak-anak pelajar akan sentiasa berwaspada apabila berada di jalan raya waima ketika pulang ke kampung atau dalam melakukan aktiviti seharian,”katanya lagi.