- المجموعة: BERITA - Malay
- كتب بواسطة: Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Penjawat Awam Perlu Miliki Kemahiran Pelbagai Untuk Maju Pada Era Bakat Terbuka - Raja Muda Perlis
PAUH PUTRA (ARAU), 25 Mac (Bernama) - Sesuai dengan era 'bakat terbuka' kini ia menuntut setiap penjawat awam memiliki kemahiran yang pelbagai, titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Menurut baginda dalam mendepani era itu penjawat awam juga mesti sentiasa terbuka untuk mempelajari ilmu baharu bagi menyumbang kepada perkembangan organisasi atau institusi yang disertai.
"Sebagai penjawat awam adalah penting menjadi ejen penyampai maklumat dan ilmu yang mampu membawa perubahan dalam masyarakat dan bukan sekadar bertumpu kepada aspek pentadbiran semata-mata," titah Tuanku Syed Faizuddin.
Baginda bertitah pada majlis Anugerah Seri Gemilang Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) 2014 bertema 'Mencarik Adat, Melarik Hasrat' di Dewan Ilmu Kampus Pauh Putra, Selasa malam. Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Pro-Canselor UniMAP.
Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man, Speaker Dewan Undangan Negeri, Hamdan Bahari dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis Romli Dai dan pengerusi Lembaga Pengarah UniMAP Datuk Prof Emeritus Ir Dr Zainal Mohamed turut hadir.
Tuanku Syed Faizuddin yang juga Canselor UniMAP menasihatkan warga kerja UniMAP berusaha menerapkan budaya profesionalisme dengan ciri-ciri komitmen tinggi, gigih, bertanggungjawab, bijaksana, kreatif, inovatif, bermotivasi, berdaya saing dan berakauntabiliti.
"Beta berharap dalam melaksanakan tugas hendaklah bertindak sebagai satu pasukan. Setiap orang perlu memberi sumbangan selain bertoleransi, saling menghormati dan berkongsi ilmu serta pengetahuan ke arah mencapai visi yang ditetapkan. Beta yakin jika perkara ini diamalkan, kita mampu mencipta kecemerlangan dan keunggulan. Oleh itu penting bagi kita berhemah dan menunjukkan sikap wibawa seperti jujur, amanah, berakhlak dan bertimbang rasa," titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin bertitah penjawat awam perlu bersedia mengikuti pembelajaran berterusan untuk memajukan diri demi kepentingan organisasi mereka.
Pada majlis itu, baginda berkenan mengurniakan Anugerah Perdana Seri Gemilang kepada Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin.
Sebanyak 182 orang lagi menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC), Anugerah Khas Perkhidmatan Cemerlang dan Anugerah Penghargaan.
Turut diberikan ialah Anugerah Penghargaan Khas UniMAP bagi agensi kepada JBP Asia Pacific Sdn Bhd dan B. Braun Medical Industries Sdn Bhd sebagai penghargaan kerana menyumbang kepada pembangunan UniMAP.
Sebelum itu, Kamarudin dalam ucapannya berkata UniMAP perlu melaksanakan lebih banyak usaha dan tidak boleh selesa dengan kedudukan dan pencapaian yang diraih sepanjang 13 tahun penubuhannya.
"Persaingan dengan universiti-universiti awam lain dan juga swasta sentiasa wujud. Persaingan ini seharusnya melonjakkan semangat kita untuk merebut dan memanfaatkan setap peluang yang ada bagi memacu kegemilangan UniMAP," katanya.