- المجموعة: BERITA - Malay
- كتب بواسطة: Syed Abu Bakar Syed Ahmad
Pensyarah UniMAP Dilantik Penyelidik Bersekutu Kehormat Universiti Romania
KANGAR, 18 Mei (Bernama) -- Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus mencipta sejarah apabila seorang lagi pensyarahnya dilantik sebagai Penyelidik Bersekutu Kehormat di Universiti Teknikal Iasi (TUIASI), Romania.
Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) Prof Madya Dr Che Mohd Ruzaidi menjadi pensyarah UniMAP yang ketiga dilantik memegang jawatan itu dalam bidang plastik dan polimer bagi tempoh dua tahun.
Pelantikan itu dibuat bersempena Persidangan Antarabangsa Penyelidikan Berinovasi (ICIR) anjuran Pusat Kecemerlangan Geopolimer & Teknologi Hijau (CEGeoGTech) bersama TUIASI di Dewan Seminar Pallas Mall di Iasi, Romania pada 14 dan 15 Mei lepas.
Menurut Naib Canselor UniMAP Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin, UniMAP turut mencipta sejarah tersendiri apabila dua ahli akademiknya dijemput sebagai pembentang utama pada seminar itu yang dihadiri lebih 15 negara antaranya Maldova, Rusia, Taiwan, Brazil, Ukraine, Israel dan Romania.
Che Mohd Ruzaidi membentangkan kertas kerja 'Geopolimer Sebagai Bahan Pembinaan' manakala Dr Noorhafiza Muhammad dari Pusat Pengajian Kejuruteraan (PPK) Pembuatan membentangkan hasil penyelidikan beliau dalam bidang Teknologi Laser bersama pembentang utama dari Maldova.
"Persidangan ini adalah hasil kerjasama rapat antara kedua-dua universiti yang menandatangani persefahaman kerjasama dalam penyelidikan geopolimer sebelum ini," katanya dalam kenyataan di sini, Isnin.
Menurut Kamaruddin, penganjur persidangan menerima lebih 100 kertas kerja dan 71 daripadanya diterbitkan dalam jurnal 'Key of Engineering Materials' berindeks Scopus, selepas dinilai oleh editor dan 25 lagi dibenarkan pembentangannya.
Pada seminar itu, UniMAP melalui CEGeoGTech menandatangani surat setuju hasrat sebagai rakan kolaborasi dengan TUIASI dan Scientific Research Platform (ENERED) dalam bidang 'Research Platform for Developing Efficient and Sustainable Energy' termasuk penerbitan, penyelidikan, pendapatan geran penyelidikan dan penyeliaan secara bersama.
UniMAP diwakili Prof Madya Dr Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah manakala TUIASI oleh Timbalan Rektor Akademiknya, Prof Dr Ing. Ioan Cioara menandatangani surat setuju hasrat tersebut.
ENERED ialah pusat saintifik dasar yang ditubuhkan oleh TUIASI bertujuan memperhebatkan bidang penyelidikan serta mendapatkan geran penyelidikan di bawah Majlis Eropah.