- المجموعة: BERITA - Malay
- كتب بواسطة: Syed Abu Bakar Syed Ahmad
UniMAP Bantu Cungkil Kreativiti Pelajar Sekolah
Sungai Chuchuh, 6 Mac – Program 1st Creativity & Innovation Competition (CIC 2015) anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) merupakan antara program yang dianjurkan untuk membantu mencungkil kreativiti pelajar sekolah terutamanya dalam aspek robotik.
Program sehari di Fakulti Teknologi Kejuruteraan anjuran Institut Kajian Strategik , Kepimpinan dan Komuniti (IKSK) itu adalah untuk melihat kreativiti para pelajar melalui hasil penciptaan inovasi.
Timbalan Naib Canselor UniMAP, Dato’ Prof. Dr. Zul Azhar Zahid Jamal ketika membacakan teks ucapan Naib Canselor berkata penganjuran program sebegini akan membantu meningkatkan kreativiti pelajar sekolah dalam bidang robotik serta membantu menangani cabaran membina sistem mekanikal dan pengaturcaraan komputer.
“program yang julung kali dianjurkan ini melibatkan penyertaan sekolah-sekolah kluster dan sekolah angkat UniMAP dari negeri Perlis, Kedah dan Terengganu.
Pada kali ini kita menerima 30 produk penyertaan dari 15 buah sekolah dan saya berharap ini secara tidak langsung dapat memberikan pendedahan yang terbaik kepada pelajar tentang teknologi robotik yang semakin berkembang dari segi penggunaannya,”kata Prof. Dr Zul Azhar.
Menurut beliau lagi UniMAP berhasrat untuk menarik minat lebih ramai pelajar terhadap dunia robotik yang semakin mendapat tempat dalam industri yang ada di dalam Negara mahupun luar.
“Saya percaya ini merupakan sebahagian dari tanggungjawab sosial universiti (USR) untuk memberi manfaat kepada rakyat secara keseluruhannya dan pada masa yang sama, UniMAP senantiasa berpegang pada satu konsep iaitu apa yang dimiliki sewajarnya dikembalikan kepada masyarakat.
UniMAP juga berazam untuk menggerakkan penyelidik-penyelidik muda ini dari peringkat sekolah lagi supaya mendapat pendedahan yang lebih meluas sehingga ke peringkat antarabangsa,”katanya.
Antara sekolah yang terlibat adalah Sekolah Menengah Teknik Alor Setar, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (P) Kangar, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kedah, Sekolah Kebangsaan Sena Perlis, , Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Hitam, Kedah, Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim, Sekolah Rendah Kebangsaan Putera Kangar, Sekolah Menengah Kebangsaan Imtias, Besut, K. Terengganu, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Arau, Perlis
Pada program tersebut, sebanyak 11 produk berjaya meraih pingat gangsa, 7 produk meraih pingat perak dan 12 produk berjaya meraih pingat emas.
Tiga daripada keseluruhan produk berjaya mendapat anugerah Ciptaan Terbaik CIC 2015 iaitu produk Valve Release Pump hasil ciptaan dari para pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Imtiaz.
Selain itu produk yang turut menerima anugerah ciptaan terbaik adalah produk Master Cut dari Sekolah Kebangsaan Sena dan produk dari Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim menerusi ciptaan Hydro Earth.
Ketiga-tiga pemenang ini akan dibawa untuk menyertai pameran penyelidikan ke peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.