A+ A A-

UniMAP Perlu Lebar Kolaborasi Di Peringkat Antarabangsa

KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) perlu melebarkan kolaborasinya dengan institusi pengajian tinggi yang terbaik di luar negara selain menjalin kerjasama dengan sektor industri dan agensi kerajaan, titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Tuanku Syed Faizuddin yang juga Canselor UniMAP berharap, langkah itu bukan sahaja menjadikan universiti itu melonjak namanya di persada antarabangsa tetapi dapat menghasilkan graduan yang holistik dan modal insan yang releven dengan kehendak negara.

"UniMAP juga perlu memberi fokus kepada kegiatan pengkomersialan dan pembinaan harta intelek selain penjanaan pembangunan sosio ekonomi dan perkembangan sosial masyarakat," titah baginda ketika merasmikan pembentangan 'Hala Tuju Pelan Strategik UniMAP 2015-2020' di Universitas Ubudiyah Indonesia (UUI), Banda Acheh, Indonesia hari ini.

Pembentangan pelan strategik lima tahun itu dilakukan oleh Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin kepada para pegawai tertinggi UUI, yang telah menjalin kerjasama akademik dengan UniMAP beberapa tahun lalu.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan UniMAP di sini, baginda juga mahu universiti itu menghasilkan lebih banyak kajian dan penyelidikan dalam aspek sains dan teknologi bagi menghasilkan produk bermanfaat kepada masyarakat yang secara tidak langsung menyumbang kepada sumber kekayaan universiti dan negara.

Melalui kolaborasi yang telah dan bakal terjalin dengan pelbagai pihak yang berpotensi, baginda yakin UniMAP mampu berdepan dengan cabaran dan persaingan global yang semakin sengit terutama sektor ekonomi yang bertunjangkan kekuatan sains dan teknologi.

Pada majlis itu juga, seorang usahawan Malaysia, Datuk Yusof Jusoh, Pengerusi Eksekutif Proven Group of Companies menyampaikan ucapan bertajuk 'Transformasi Akademia' kepada para pegawai kanan UUI.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UniMAP Prof Emeritus Datuk Ir Dr Zainai Mohamed, Ketua Yayasan Ubudiyah Dedi Zefrizal dan Rektor UUI Marniati M. Kes.

 Hala Tuju Pelan Strategik UniMAP 2015-2020

Hala Tuju Pelan Strategik UniMAP 2015-2020

Hala Tuju Pelan Strategik UniMAP 2015-2020

Hala Tuju Pelan Strategik UniMAP 2015-2020